Tuduh UMNO, PAS Terlibat Boikot Produk Bukan Bumiputera Bukti LGE Pemimpin Rasis, Perkauman Jahat
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membidas tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) yang cuba mengheret UMNO dan PAS terlibat dalam kempen memboikot produk non bumi.
Sambil menyifatkan kenyataan LGE itu sebagai satu tuduhan jahat dan sangat tidak bertanggungjawab, beliau berkata tuduhan seperti inilah yang akan menimbulkan sakit hati dan perpecahan antara kaum di negara ini.
“Dalam kenyataan beliau (LGE) menyebut dengan jelas seolah UMNO dan PAS terlibat. Seingat saya tidak ada kempen oleh UMNO dan PAS untuk boikot produk non bumi atau non muslim.
“Kalau ada kempen dari NGO untuk beli produk halal dari peniaga muslim, itu adalah di atas dasar kesedaran orang-orang Islam tentang kewajipan mereka untuk mendapatkan produk yang benar-benar halal dan kesucian tanpa was-was”, katanya dalam kenyataan kepada UMNO-Online di sini..
Kenyataan LGE ini tegas beliau jelas memperlihatkan sikap prejudis dan pemikiran jahat LGE terhadap orang Melayu.
“Ini juga jelas menunjukkan sikap rasis sempit beliau yang sentiasa mempunyai sentimen dan persepsi negatif terhadap orang Melayu Islam
“LGE tidak wajar mengaitkan UMNO dan PAS. Boikot atau tak itu adalah hak pengguna. Pengguna mempunyai kuasa penuh di dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa”, ujarnya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya berkata kenyataan tentang pengguna sepatutnya datang dari Menteri atau Kementerian KPDNHEP bukannya dari Kementerian Kewangan.
Tapi nampaknya tegas Ismail, LGE membuat kenyataan yang dilihat rasis dan jahat bukannya tentang hak mutlak pengguna untuk membuat pilihan.
“LGE sepatutnya menghormati keputusan pengguna di dalam membuat pilihan. Sepatutnya LGE selaku Menteri Kabinet gembira kerana pengguna hari ini sudah tahu menggunakan hak mereka sebagai pengguna.
“Sejak dari dulu kempen kesedaran pengguna dilaksanakan oleh KPDNKK dan kini KPDNHEP nampaknya kempen tersebut dilihat sedang berhasil. LGE sepatutnya menghormati keputusan pengguna di dalam membuat pilihan”, katanya.
Jelas beliau lagi harus diingat bahawa kesedaran orang muslim berkaitan produk-produk halal ini setelah terlalu banyak produk-produk non muslim yang menggunakan nama-nama Islam dan Melayu demi mengaburi mata pengguna dalam mana produk-produk non bumi ini tidak menititik-beratkan soal kebersihan dan status halalnya.
Kesedaran ini jelasnya setelah pengusaha-pengusaha non bumi ini menganiaya dan mengkhianati pengguna dengan mengetepikan soal halal dan kesucian demi keuntungan semata.
” Namun LGE berniat jahat mengaitkan UMNO dan PAS untuk menimbulkan kebencian kaum bukan bumiputera terhadap UMNO dan PAS. Sebenarnya kesuraman di dalam perniagaan dirasai oleh semua peniaga sama ada peniaga bumiputera atau bukan bumiputera.
“Ianya berpunca dari kelembapan ekonomi akibat dari kegagalan kerajaan PH di dalam menyediakan dasar bagi meningkatkan ekonomi negara”, ujarnya.
Rakyat luar bandar jelas beliau lagi kurang berbelanja kerana kejatuhan harga komoditi dan begitu juga rakyat di bandar kerana kos sara hidup yang meningkat.
Jadi kesuraman perniagaan tegasnya disebabkan oleh kelemahan dasar ekonomi kerajaan dan kelemahan Kementerian Kewangan.
“Kenyataan LGE dengan menuduh UMNO dan PAS tidak lebih dari cubaan mengalih perhatian rakyat untuk menutup kelemahan beliau sebagai Menteri Kewangan yang jelas gagal.
“Jika benar kempen beli barangan dan produk muslim atau boikot yang dilakukan oleh NGO dan orang persendirian dari kalangan Melayu Islam berkaitan produk halal ini maka saya cukup yakin dengan kuasa yang ada pada majoriti Islam Melayu akan membuka satu lembaran baru kepada produk-produk muslim yang pasti halal dan secara tidak langsung ianya bakal mengangkat ekonomi orang muslim pada kedudukan yang baik dan bakal melahirkan lebih ramai pengusaha bumiputera yang mengutamakan soal hukum halal haram setiap produk”, katanya. -UMNO Online