#HPU914: Demi Kedaulatan Negara, Bangsa, Agama… UMNO-PAS Bentuk Kerjasama – Saarani


IPOH 2 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata piagam kerjasama UMNO dan PAS sebenarnya merupakan satu persefahaman bersama yang perlu dimeterai dalam bentuk Memorandum Kesefahaman (MOU) demi masa hadapan dan kedaulatan negara.

Katanya, perjuangan kedua-dua parti Melayu dan Islam ini selari dan mendokong tujuan untuk membangunkan negara, mendaulatkan tanah air, menjunjung perlembagaan dan pada waktu sama bertanggungjawab menjaga, mempertahankan dan menyebarkan syiar Islam.

“Yang penting adalah bersetuju untuk bersama dan tentunya piagam ini benar-benar ikhlas dengan kesucian hati, kejujuran diantara kedua-dua parti untuk bergerak bersama-sama… insya-Allah.

“Untuk membolehkan itu berlaku sudah tentu memerlukan satu persefahaman yang jitu sebagaimana pemetraian tandatangan kedua-dua parti UMNO dan PAS ini untuk bergabung,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Saarani menambah, biarpun kerjasama menjadi rasmi namun entiti UMNO dan PAS masih sama iaitu PAS masih dengan benderanya dan UMNO juga sama, perlembagaan pun tetap sama kepada parti masing-masing.

“Walaupun dikatakan perbezaan perlembagaan dan entiti, tetapi untuk tujuan yang sama kita mengadakan muafakat maka ini satu perkara yang baik kepada masyarakat Melayu dan Islam. Kedua-dua parti ini dilihat bersaing antara satu sama lain namun persaingan itu telah merosakkan Melayu dan Islam yang mengakibatkan kedua-dua parti ini kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Sudah tiba masanya dimana PAS bertanding UMNO tidak akan bertanding sepertimana kita pernah lakukan masa Pilihan Raya Kecil (PRK) dimana calon UMNO disokong oleh PAS dan kita mendapat kemenangan.”

Kata beliau, mengapa tidak menggunakan kesempatan yang sekarang ini menjadi pembangkang dan menggabungkan serta menjalinkan kedua-dua parti terbesar Melayu dan Islam ini dalam fasa perjuangan?

“Setelah termetrai piagam maka akan berlaku kerja-kerja diperingkat bawah, negeri, kawasan, bahagian dan juga di pusat daerah mengundi (PDM) dimana jentera pilihan raya UMNO dan PAS dapat duduk bersama dan merangka serta bekerjasama untuk meraih pengundi-pengundi,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.