Pertahankan Martabat Agama, Maruah Bangsa Di Tanah Air Sendiri Erti Kemerdekaan Sebenar – Tok Mat

PASIR SALAK, 31 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata merdeka pada hari ini adalah bebas daripada perpecahan dan perselisihan antara orang Melayu yang telah sekian lama terjadi dan pastikan ia menjadi sejarah.

Sudah tiba masanya orang Melayu dan Islam di negara ini bersatu padu mempertahankan maruah bangsa dan agama dari terus diperlekehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Merdeka kita tidak akan bermakna jika kita tidak ada kuasa. Maka inilah yang harus sama-sama kita hayati, sama-sama kita pastikan perpecahan dan perselisihan orang Melayu yang telah sekian lama telah terjadi kita pastikan ia jadi satu sejarah.

“Mari kita lihat ke depan pastikan yang penting ialah kita pertahankan maruah dan martabat bangsa, agama di tanah air bertuah ini. Jika tidak kemerdekaan tidak bermakna bagi orang Melayu, umat Islam kerana kerajaan sedia ada kerajaan yang tidak simpati kepada orang Melayu, agama Islam. Agama Islam diperlekeh, bangsa Melayu dihina.

“Maka sudah sampai masanya dan inilah masanya untuk orang Melayu dan umat Islam bangkit bersama-sama berganding bahu untuk kita pastikan kuasa Melayu, Islam dapat kita bangunkan semula di tanah air kita ini,” katanya dalam program Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 di dataran Dewan Besar Pekan Rabu, di sini malam tadi.

Selain Mohamad, himpunan tersebut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Ahli Majlis Tertinggi dan barisan kepimpinan pelbagai peringkat.
Turut hadir barisan kepimpinan PAS yang diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyudin Hasan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta kepimpinannya.
Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan juga berkata selepas tewas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, nikmat yang tidak terhingga ialah penyatuan ummah.

“Allah mendatangkan nikmat kepada kita iaitu terbuka minda orang Melayu, terbuka kepimpinan kita bersama-sama untuk memastikan supaya usaha penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar dalam negara ini yang telah dimulakan sebelum pilihan raya lagi telahpun kita jelmakan.

“Dan malam ini merupakan permulaan untuk kita berhimpun pada 14 September nanti di PWTC dalam majlis di mana kedua-dua presiden parti UMNO dan PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menandatangani satu piagam,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, semua pihak perlu sama-sama berganding bahu untuk melihat supaya orang Melayu, Islam di tanah air akan bangkit semula demi maruah serta martabat agama dan bangsa.

“Selepas 14 haribulan (September) setelah menandatangani piagam, kita tidak menoleh ke belakang lagi. UMNO dan PAS serta seluruh orang Melayu dan Islam di negara ini mesti bersatu, bersama-sama supaya memastikan kerajaan yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini yang langsung tidak ada perilakunya terhadap bangsa dan agama kita, mesti kita jatuhkan pada PRU-15 nanti.

“Matlamat kita ialah supaya kita pastikan, kita satupadukan tenaga, umat Melayu, umat Islam kerana tidak ada jalan lain lagi untuk kita pastikan bahawa kerajaan yang mengkhianati rakyat, kerajaan yang menipu rakyat, kerajaan yang berbohong, tidak menepati janji mesti kita kuburkan kerana dengan cara itu sahaja kita akan dapat bangkit semula memartabatkan maruah bangsa dan agama di tanah air kita ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.