Ayuh Semarakkan Himpunan Melayu Bangkit 2.0, Malam Ini

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Orang ramai khususnya Melayu Islam diseru untuk bersama-sama menjayakan Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0. yang bakal berlangsung malam ini di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik kawasan Parlimen Pasir Salak.

Himpunan ini bakal dibanjiri dengan 50,000 orang dari seluruh negara tanpa mengira ideologi dan perjuangan sebagai satu kesatuan terhadap perpaduan dan penyatuan orang-orang Melayu.

Acara himpunan tersebut akan bermula pukul 5 petang dengan persembahan oleh kumpulan kebudayaan Dendang Anak, diikuti bacaan sajak sepentomin.

Ini diikuti acara persembahan Pertubuhan Kerabat yang kemudiannya akan menyampaikan bantahan atas penghinaan terhadap anggota tentera rentetan baru-baru ini yang dikatakan `hanya makan dan tidur’.

Seterusnya, solat Maghrib berjemaah diadakan yang akan diikuti solat hajat, tazkirah dan ceramah oleh pendakwah yang juga Presiden Kelab Pendukung Penyatuan Ummah Malaysia, Ustaz Ahmad Husam Baderudin.

Selepas solat Isyak berjemaah pula, majlis diteruskan dengan siri ucapan termasuklah oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; serta mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.