Himpunan Penyatuan Ummah Untuk Semua, Jangan Ada Mana-Mana Pihak Rasa Terancam, Terpinggir

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Tiada mana-mana pihak yang sepatutnya berasa terancam atau terpinggir dengan Himpunan Penyatuan Ummah termasuklah yang akan diadakan di Pasir Salak pada esok, 30 Ogos, Jumaat ini.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, himpunan seumpama ini adalah untuk kepentingan dan semestinya bakal memberi manfaat yang menyeluruh bukan sahaja kepada bangsa Melayu tetapi juga kepada seluruh rakyat.

Menurut beliau tanggapan dan dakwaan sinis jika ada ditimbulkan hanyalah sekadar untuk mengganggu-gugat kelancaran penyatuan ummah yang hari ini cukup segar dan bersemarak di seluruh negara.

“Penyatuan ummah ini tidak akan meminggirkan mana-mana pihak sekali pun kerana nawaitu kita adalah untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Apabila perpaduan itu berlaku semestinyalah negeri dan juga negara yang rakyatnya berbilang bangsa dan agama akan mendapat manfaat kerana keharmonian dan kesejahteraan jelas akan terpancul,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Lantaran kejayaan program Melayu Bangkit dan penyatuan ummah yang diadakan tahun lalu maka UMNO Pasir Salak sekali lagi bakal menganjurkan himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0.

Himpunan yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini dijangkakan bakal mengumpulkan 50 ribu orang.

Ketua UMNO bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, himpunan ini merupakan sambutan bagi kejayaan program yang sama tahun lalu.

“Kita telah berjaya dengan dua program ini dalam menyuntik semangat untuk bersatu di kalangan orang Islam dengan satu nada mempertahankan bangsa dan agama kita.”

Pada 13 dan 14 September ini, Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena majlis tandatangan piagam kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

Zolkafly yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput seterusnya menambah orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyertai himpunan berkenaan bagi menyemarakkan lagi himpunan tersebut.

“Percayalah… dan yakinlah… himpunan mahupun penyatuan ummah yang digerakkan ini tidak seharusnya mana-mana pihak berasa terancam… sekali lagi kita tegaskan tidak seharusnya merasa terpinggir.

“Marilah kita jayakan bersama untuk melihat manfaat yang menyeluruh kelak,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu lagi. – UMNO Online