#HPU914: Piagam UMNO-PAS, Corak Politik Malaysia Yang Lebih ‘Baharu’ – Dr Fathul Bari

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata piagam UMNO-PAS yang bakal ditandatangani pada 14 September nanti bakal mencorak suasana politik Malaysia yang lebih ‘baharu’.

Selain Islam dan Melayu sebagai teras, Dr Fathul Bari dalam satu hantaran di Facebook turut berkata hak-hak semua kaum di negara ini tidak dipinggirkan demi kestabilan politik dan keharmonian negara.

“Kami bersedia mendokong piagam UMNO-PAS yang bakal ditandatangani 14 September ini.

“Kisah dahulu dijadikan teladan untuk mencorak politik Malaysia yang ‘lebih baharu’.

“Islam sebagai teras, bangsa Melayu dipertahankan maruah dan haknya, Raja-raja dihormati lagi ditaati dalam urusan yang makruf, hak-hak semua kaum diperjuangkan demi kestabilan politik dan keamanan tanahair,” ujarnya.

Dalam media sosialnya itu, Dr Fathul Bari turut memuatnaik gambarnya bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim merangkap Ahli Parlimen Arau bersama Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di dalam Himpunan Penyatuan Ummah Negeri Perlis di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau, Perlis.

Isnin lalu, UMNO dan PAS Perlis mengadakan program ‘Tour’ Penyatuan Ummah Anak Tok Guru.

Mengulas lanjut, Dr Fathul Bari turut berharap agar semua pendukung agenda penyatuan ummah istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan.

“Moga Allah kurniakan keikhlasan di hati-hati kami, dan menetapkan kami di landasan yang benar berbekalkan aqidah al-shahihah dengan penuh istiqamah!

“Salam ukhuwwah fillah,” ujarnya lagi.

Pada 13 dan 14 September nanti, dijangka lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sempena majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS.

Pada sidang media bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan minggu lalu memaklumkan pelbagai pengisian telah diatur bermula pada Jumaat, 13 September.

Antara pengisian bermula dengan zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri dan Ameera PAS pada sebelah pagi dan kemudiannya selepas solat Jumaat disusuli ‘Wacana Intelektual Penyatuan Ummah’ anjuran Penerangan UMNO selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC yang menampilkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Manakala Sabtu, 14 September adalah hari kemuncak yang mana akan ditandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Haji Awang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.