Tak Guna Buat Hutang Berbilion Ringgit Tapi Rakyat Tak Dapat Manfaat, Makin Terbeban

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata jika Menteri Kewangan atau panggilan yang lagi tepat iaitu ‘Menteri Kewayangan’, Lim Guan Eng gagal menguruskan kewangan negara, duit yang banyak dipinjam tidak akan membawa manfaat bahkan menambah beban kepada rakyat.

Ujarnya, masalah utama negara sekarang adalah kerana tidak mempunyai pendapatan yang cukup dan kerana itulah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh berharap kepada bon semata-mata dan perlu merangka cara lain untuk menambah pendapatan negara.

“Menurut penganalisis, bon ini bukanlah pinjaman (loan aid) daripada Jepun, sebaliknya kerajaan akan mengeluarkan bon (berhutang) yang akan dijamin oleh kerajaan Jepun.

“Mudah fahamnya ianya adalah sebuah hutang yang dimiliki oleh Malaysia namun dengan jaminan daripada kerajaan asing.

“Oleh itu, faktor ‘exposure’ kepada ‘exchange rate’ matawang Yen (¥) yang kita kena tempuhi bila kita buat pinjaman dalam matawang asing yang kukuh seperti ¥. Makin tinggi beza ‘exchange’, makin banyak yang kita kena bayar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Nicole berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang memberi bayangan bahawa kerajaan PH mungkin menerbitkan satu lagi Bon Samurai, berikutan Bon Samurai pertama iaitu pada Mac lalu kerajaan menerbitkan Bon tersebut dengan jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) sebanyak RM7.3 bilion, had tempoh matang sepuluh tahun dengan kos keseluruhan kepada kerajaan Malaysia sebanyak 0.63% setahun.

Tambahnya, apabila nilai bila Yen meningkat kos pembayaran semula akan meningkat.

“Kita kena ambil kira juga risiko ini sebelum membuat pinjaman, sebab ‘nyawa’ kita sekarang dipegang oleh Bank Of Japan di mana segala polisi yang dibuat seperti menaikkan kadar faedah (interest rate) atau apa-apa polisi yang ‘effect’ watawang Yen mempengaruhi jumlah pembayaran servis hutang Yen kita,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Nicole turut mengulas mengenai nilai Ringgit Malaysia (RM) yang semakin hari semakin merudum.

“Sebelum 509 (9 Mei) tahun 2018, PH mengeluarkan kata-kata emas “Najib turun, Ringgit naik”, tapi hari ini, ringgit susut melepasi paras RM4.20 berbanding dolar AS, iaitu 4.2065 terendah sejak 9 November 2017.

“Jelas PH sudah memfitnah Datuk Seri Najib masa itu… sekali lagi ia dibongkar, ia bukan pertama kali dibongkar dan memang ada banyak kali lagi pada masa akan datang,” tegasnya. – UMNO ONLINE