Skuad Sabil Bukan Hanya Bersifat Sukarelawan, Terap Idealisme Perjuangan UMNO – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Skuad Sabil Pemuda UMNO bukan sahaja pasukan beruniform yang bersifat sukaraelawan malah ianya diterapkan dengan nilai, orientasi, jiwa, roh dan juga idealisme perjuangan UMNO itu sendiri, tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada masa yang sama katanya, skuad tersebut bukanlah untuk memerangi sesiapa tetapi akan memberikan amal bakti berasaskan cogan kata UMNO ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ yang diringkaskan dalam konteks Skuad Sabil ‘Setia Berkhidmat’.

Pelancaran skuad berkenaan disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahad petang di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).

Sambung Asyraf, nilai-nilai perjuangan berkenaan akan lebih efektif apabila adanya satu bentuk pasukan beruniform yang di dalamnya terkandung soal disiplin selain menggarap segala asas-asas perjuangan UMNO dan terjemahkannya ke dalam masyarakat.

“Sebab itu Skuad Sabil akan bertindak sebagai barisan di depan yang akan memainkan peranan bukan sahaja bersifat sukarela, tetapi juga kita nak wujudkan nilai sukarela di dalam diri pemuda-pemuda dan pada masa yang sama kita mahu memastikan masyarakat kita dapat dibela dan dapat memberi manfaat kepada semua.

“Hadis Nabi disebutkan sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebab itulah kata beliau lagi ini adalah pasukan beruniform yang bersifat sukarela, tidak ada elaun tetapi yang ingin digarapkan ialah nilai perjuangan, nilai pengorbanan dan paling penting ini sebagai benteng untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Kita mahu mempertahankan negara kita yang tercinta daripada sebarang anasir yang cuba menganggu gugat Perlembagaan.

“Sepertimana kata presiden peranan skuad Sabil ini tidak akan menandingi dan menyaingi mana-mana pasukan keselamatan tetapi kita akan menjadi kumpulan yang akan memberikan nilai tambah atau memperlengkapkan apa yang ada.

“Maknanya kalau ada masyarakat dilanda musibah, malapetaka dan sebagainya kita boleh membantu yang mana perlu dengan pasukan keselamatan yang ada,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.