Penubuhan Skuad Sabil Tepat, Penuhi Keperluan Pejuang Barisan Hadapan – Adnan Seman
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Adnan Seman percaya dan yakin penubuhan Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sangat bertepatan dengan suasana perubahan lanskap politik selain memenuhi keperluan semasa demi masa depan parti.
Menurut beliau skuad terbabit berupaya menarik minat anak-anak muda kepada pergerakan itu melalui semangat kesukarelawan yang diterapkan ketika parti bukan lagi kerajaan dan ini juga memenuhi keinginan anak muda yang suka berada dan berjuang di barisan hadapan membantu parti berdepan PRU-15 dan seterusnya.
“Skuad Sabil juga akan berganding bahu dengan Unit Amal PAS memastikan program-program kedua parti bersama rakyat secara bersama di bawah tema ‘Penyatuan Ummah’ berjalan dengan lancar dan terkawal.
“Pendekatan ilmu yg sering digunakan oleh Ketua Pemuda UMNO seperti halaqah, program pertemuan dengan pemuda-pemuda di bahagian masing-masing, diskusi dan pencerahan melalui live FB adalah pendekatan yg sangat baik dan seharusnya dipuji kerana ianya memberikan penekanan terhadap budaya mementingkan ilmu pengetahuan dan pembentukan sahsiah diri,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.
Ahad lalu Pemuda UMNO melancarkan Skuad Sabil yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik.
Tambah Adnan mempunyai ilmu dan berperibadi mulia adalah kunci kepada pembentukan sebuah parti politik UMNO yang lebih baik dan inilah sebenarnya yang diimpikan rakyat.
“Selain kemampuan untuk berhujah dan menguasai media sosial termasuklah mengupas isu-isu semasa dan membongkar kelemahan-kelemahan kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Tahniah diucapkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO atas pelancaran Skuad Sabil ini,” ujarnya. – UMNO Online