#HPU914: Semua Pihak Harus Menyokong Kerjasama Ini Demi Agama, Bangsa, Negara – Adnan

 

KUANTAN 27 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata semua pihak memberikan sokongan kepada piagam kerjasama UMNO dan PAS yang akan dilaksanakan pada 14 September ini.

“Ini satu langkah permulaan untuk kita memantapkan perpaduan Melayu dan Islam kerana kalau kita terus berpecah-belah, sampai bila pun kita tidak dapat berbuat apa-apa demi agama, bangsa dan tanah air.

“Perlembagaan Madinah merupakan perlembagaan yang pertama dan tertua di dunia yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW. Ia memberikan hak-hak tertentu kepada kaum yang bukan beragama Islam selagi mereka taat setia serta mematuhi segala undang-undang dan peraturan orang Islam,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut bekas Mentei Besar Pahang itu, piagam kerjasama UMNO dan PAS adalah sangat baik dan amat tepat dengan masanya.

“Saya ingin mengingatkan pucuk pimpinan UMNO dan PAS, kita mesti tekankan pentingnya kerjasama ini untuk orang Melayu dan Islam, pada masa yang sama tidak mengabaikan orang-orang yang bukan Islam dan bukan Melayu.”

Ujarnya, UMNO dan PAS harus bersatu-padu bagi mendapatkan semula kerusi-kerusi Parlimen.

“Boleh dapat balik dan insya-Allah … kita perlu menggunakan segala ikhtiar untuk memajukan agama dan bangsa dan dalam masa yang sama, kita juga harus berlaku adil kepada semua pihak,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.