Tze Tzin Bersikap Rasis – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Keceluparan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menyamakan Skuad Sabil dengan pekerja asing berbangsa Bangladesh menjadi manifestasi betapa rasisnya beliau terhadap orang Melayu.

Ketua Pergerakan UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, tindakan itu juga jelas menunjukkan betapa beliau benci terhadap apa juga yang dilakukan oleh parti berorientasikan Islam dan Melayu.

“Itulah warna, wajah dan pemikiran sebenar seorang timbalan menteri yang dalam diri mereka begitu menebal nilai rasis, apa sahaja dilakukan parti Melayu Islam akan dinilai dalam kaca mata yang rasis.

“Sebab itulah terkeluar kata-kata yang sebenarnya hanya menzahirkan wajah sebenar mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tze Tzin menerusi ciapan dalam laman Twitter beliau menyatakan : “Akhirnya, 1 juta pak guard dari Bangladesh telah sampai.”

Kenyataan itu berkait dengan keputusan UMNO menubuhkan pasukan beruniform dipanggil Skuad Sabil; bagi membantu kelancaran program-program dianjurkan parti berkenaan. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.