#HPU914: Sokongan Akar Umbi Berterusan, Semangat Penyatuan Ummah Makin Bersemarak

 

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Persefahaman yang telah ada sebelum ini membolehkan penyatuan ummah antara UMNO dan PAS bukan sahaja berjalan lancar malah terus ditingkat dari semasa ke semasa dengan sambutan yang cukup membanggakan dari akar umbi.

Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata langkah-langkah yang telah diambil sekian lama memudahkan lagi proses berkenaan malah menjelang 14 September nanti kerana semangat untuk penyatuan ummah makin semarak dan makin segar dikalangan masyarakat setempat.

“Program-program penyatuan ummah diperingkat akar umbi telah kita laksanakan kerana kerjasama antara kedua-dua pucuk pimpinan bahagian telah kita gerakkan sebelum ini lagi. Persefahaman antara kita telah ada.

“Ini bermakna langkah-langkah untuk bekerjasama khusnya menjayakan lagi perpaduan ummah antara kedua-dua parti di Permatang Pauh telah digerakkan dahulu dan sehingga ke saat ini usaha atau program akan kita terus lipat gandakan lagi,” katanya kepada UMNO-Online.

Lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 dan 14 September depan sempena Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS.

Pada sidang media bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan di sini, Selasa lalu, memaklumkan program terbabit dengan pelbagai pengisian telah diatur bermula pada 13 September lagi iaitu Jumaat.

Berdasarkan hal ini, Zaidi menganggap bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah mengajar bahawa perpecahan itu tidak membawa apa-apa manfaat malah ianya merugikan.

Jadi tambah beliau lagi mahu atau pun tidak mahu keikhlasan dan kesungguhan yang dapat dilihat di kalangan penyokong serta pendokong antara kedua-dua parti tidak boleh dipertikaikan lagi yang mana semua pihak ingin melihat kesatuan sertan perpaduan ini direalisasikan hingga PRU akan datang dan seterusnya.

“Sesungguhnya penyatuan ummah diperingkat Parlimen Pematang Pauh pada hari ini bukan menjadi milik saya dan YDP PAS kawasan semata-mata tetapi ini adalah hak kepada rakyat untuk melihat bahawa perpaduan ini akan terus melonjak.

“Insya-Allah kita akan terus bekerjasama untuk menggerakkan perpaduan ini sehingga usaha kita ini merealisasikan mencapai impian kejayaan pada PRU akan datang,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah kecelaruan yang berlaku dikalangan Pakatan Harapan (PH) memberi kelebihan kepada usaha-usaha berkenaan, Zaidi berpandangan itu bukan persoalan sebenarnya.

“Apa yang berlaku kepada PH adalah soal mereka. Soal kita memastikan perpaduan ini menjadi milik rakyat. Yang menjadi tunjang utama kekuatan kita hari ini adalah kehendak rakyat untuk melihat UMNO dan PAS bekerjasama dan sebagai pemimpin ini adalah amanah dan tanggungjawab kita untuk memastikan kesatuan ini direalisasikan,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.