Bukan Setakat Isu Dalaman PH, Isu Rakyat Pun MB Selangor Perlukan Cermin

SUBANG, 26 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membidas Menteri Besar (MB) Selangor Amirudin Shari agar lebih baik menyelesaikan masalah negeri Selangor dan dalaman partinya dahulu sebelum mahu mempertikaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang jelas mengangkat isu masalah rakyat.

Sudah pasti katanya, selain beliau jutaan rakyat mahukan Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor serta kepimpinan Pakatan Harapan (PH) cermin diri terlebih dahulu.

“Saya sebagai rakyat Selangor harap MB lihat dahulu masalah dalaman Selangor.

“Sudah tiga penggal Pakatan memerintah Selangor, masalah air masih tidak selesai lagi sehingga kini. Takkan masih nak salahkan Barisan Nasional (BN) walaupun sudah tiga penggal.

“Cukai pintu, cukai perniagaan dan pelbagai cukai baru makin meningkat terutama di Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Armand berkata demikian ketika mengulas kenyataan Amirudin yang meminta Dr Ahmad Zahid cermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan politik parti lain.

Mengulas lanjut, Armand turut memohon anak kelahiran Pontian, Johor itu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melingkari kehidupan rakyat Selangor khususnya dan negara amnya.

“Belum cerita lagi tentang sewa tapak perniagaan baik di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), tapak pasak malam, tapak pasar pagi dan tapak kedai-kedai makan di bawah majlis perbandaran makin naik tinggi seterusnya menjadikan barangan asas keperluan rakyat makin meningkat tinggi.

“Pihak MB kenapa berdiam diri bila isu rompakan pasir secara terbuka seterusnya merosakkan alam sekitar di bumi Selangor.

“Rata-rata baik di bandar mahupun luar bandar sudah merasakan kegagalan Pakatan dalam mentadbir negara. Hanya pemimpin tinggi Pakatan sahaja yang gagal melihat dan mendengar suara nadi rakyat di bawah kerana sibuk berebut kerusi empuk di puncak kuasa,” tegas Ketua UMNO Bahagian Subang itu lagi.

Tambahnya lagi, hakikatnya kini rakyat lihat PH kini dalam krisis kepimpinan yang amat lemah.

“Terutama bila ada suatu puak yang tidak sabar nak jadi perdana menteri kelapan. Rakyat Malaysia nampak ada dua kumpulan dalam Pakatan Harapan, ibarat sejarah 1998 dahulu sudah mula digerakkan.

“Lihat sahaja kenyataan sesama menteri yang selalu bercanggah antara satu sama lain. Belum lagi kita bangkitkan kenyataan perdana menteri dan menteri yang selalu ‘U-Turn’,” katanya.

Jelasnya, semua yang berlaku adalah kerana politik PH tidak stabil dan tidak mengutamakan rakyat tetapi lebih mengutamakan kepentingan individu di puncak kuasa.

“Lihat sahaja isu yang terpalit pada kepimpinan Pakatan. Video seks yang tular yang rakyat masih tertanya-tanya siapa individu pelaku tersebut, isu rogol amah, isu penambahan hutang negara, isu peningkatan pengangguran, isu bendera terbalik, isu tukar warna bendera, isu harga sawit, isu harga getah, isu kebajikkan rakyat yang makin terhimpit, isu kos sara hidup dan pelbagai lagi jika kita nak bangkitkan.

“Tetapi apa yang mengusarkan saya dan jutaan rakyat Malaysia di bulan kemerdekaan ini adalah isu perpaduan nasional yang dilihat sudah mula keretakan antara satu sama lain kerana kerajaan Pakatan Harapan gagal mewujudkan semangat kesatuan dalam negara kita. Ini berlaku kerana kerajaan Pakatan berkuasa atas dasar politik kebencian dan fitnah.

“Jika rumah atau pejabat Menteri Besar kekurangan cermin, saya sedia menyumbangkan cermin untuk kegunaan Menteri Besar Selangor untuk beliau cermin dahulu muka beliau sebelum mengeluarkan kenyataaan,” sinisnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.