UMNO Iktiraf Skuad Sabil Pemuda, Kekuatan Baru Parti

BENTONG, 25 Ogos – Pemuda UMNO Malaysia hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila Skuad Sabil yang merupakan pasukan beruniform bersifat sukarelawan diiktiraf sebagai skuad pergerakan itu dan juga UMNO Malaysia.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan skuad berkenaan pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Dan Pelancaran Skuad Sabil di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di di sini, hari ini.

Pada masa yang sama turut diumumkan ILMU akan menjadi pusat latihan rasmi skuad berkenaan.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid seterusnya berkata skuad tersebut merupakan satu kekuatan baru kepada parti berkenaan.

“Saya mahu siapa juga yang akan mewarisi jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Presiden parti selepas ini Skuad Sabil tetap wujud walaupun pemimpin itu datang dan pergi.

“Ini bukan hanya program politik atau program UMNO semata-mata…ini program ummah dan ummah memerlukan skuad sabil untuk bela mereka.

“Apapun yang berlaku baik bencana alam dan sebagainya, kita tidak mahu bersaing dengan agensi kerajaan mahu permasalahan lain dengan pasukan sedia ada..kita adalah penyumbang dan jangan ada salah tafsir. Kita tidak akan menimbulkan masalah kepada pasukan sedia ada,” katanya.

Turut serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan barisan pimpinan lain.

Pada masa yang sama Zahid juga mahu kursus skuad berkenaan diperluaskan dan barisan exco serta Ketua Pemuda Negeri dan bahagian turut dilibatkan sama.

“‘Tasking’ pertama himpunan penyatuan ummah di Pasir Salak pada 30 Ogos depan dan seterusnya pada 13 dan 14 September nanti iaitu Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC.

“Skuad Sabil ini akan berada di semua sudut bagi membantu soal keselamatan dan apabila saya turun untuk merasmikan konvensyen UMNO di setiap negeri, skuad ini akan turut bersama di dalam dan luar dewan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi pula berkata seramai 300 peserta terlibat sebagai kumpulan pertama dan perintis kepada Skuad Sabil yang ditubuhkan di bawah pergerakan itu.

“Ini adalah untuk menyemai semangat sukarelawan dan pengorbanan dalam menghayati idealisme, roh, akal dan jiwa perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam, mempertahankan maruah bangsa dan memperkasakan negara tercinta.

“InsyaAllah skuad ini akan mula berkhidmat untuk turun ke lapangan dalam masa terdekat bagi membantu pelbagai lapisan masyarakat setelah tamat siri-siri latihan yang telah ditetapkan. Doakan agar usaha murni ini mendapat keredhaan Ilahi dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” ujarnya.

Seramai 300 peserta terlibat dalam siri pertama kursus Skuad Sabil yang berlangsung selama tiga hari dua malam di ILMU.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.