Semangat Ahli UMNO Makin Tinggi, Makin Bersemangat Untuk Terus Berjuang – Ismail Sabri

MUAR, 24 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa syukur melihat kepada perkembangan terkini semangat ahli-ahli parti yang bukan menurun malah semakin meningkat walaupun parti mengalami kekalahan pada Pilihan raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut beliau suasana dan keadaan itu dapat dilihat menerusi mesyuarat bahagian serta mesyuarat diperingkat cawangan-cawangan seluruh negara malah perkembangan sama turut dapat disaksikan daripada sayap-sayap parti yang mana masing-masing berjaya melaksanakannya mengikut perlembagaan parti.

“Dari segi semangat ahli UMNO di setiap bahagian yang saya pergi rasmi malah yang dimaklumkan oleh rakan-rakan yang lain bahawa semangat ahli parti bukan menurun selepas kita kalah dalam pilihan raya umum yang lalu tetapi makin tinggi dan semangat mereka makin meningkat.

“Dan UMNO dilihat bangkit selepas kekalahan sebelum ini dan yakin semangat ini akan berterusan. Kalau pilihan raya diadakan, yakin semangat ini akan dibawa terus dan memastikan kemenangan kita kelak,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Bakri yang diadakan di Classic Hotel, Muar.

Turut serta barisan kepimpinan UMNO setempat, Ketua UMNO bahagian Bakri, Hj Fuad Tukirin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan rakan komponen serta rakan Taa’wun Pas Bakri.

Bahagian Bakri merupakan bahagian terakhir yang beliau rasmikan. Mesyuarat UMNO bahagian seluruh negara yang bermula 15 Jun lalu telah melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua bulan.

Malah tambah beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bera, di bahagian Bakri sendiri, dimaklumkan daripada 128 cawangan tidak ada satu cawangan pun yang gagal untuk mengadakan mesyuarat dan keduanya dari segi keahlian selepas pemutihan pun hanya beberapa ratus sahaja yang keluar manakala yang lain masih lagi setia bersama parti.

“Seperti yang kita tahu kekuatan UMNO bukan hanya setakat di peringkat tertinggi sahaja, dan kekuatan UMNO ditentukan oleh akar umbi. Akar umbi inilah yang akan menentukan kemenangan parti sebenarnya. Kalau inilah semangat yang ditunjukkan dan perpaduan yang terus kekal jadi saya yakin kita tidak akan mempunyai halangan besar, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut melihat momentum penyatuan ummah di seluruh negara makin segar yang mana dapat dilihat ceramah-ceremah perpaduan ummah diadakan di peringkat bahagian.

“Saya lihat banyak bahagian-bahagian di seluruh negara mengadakan ceramah perpaduan ummah dan pada 13 September ini pun kita rancang dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan sayap parti yang bermula daripada pagi hingga petang manakala kedua-dua timbalan presiden daripada kedua-dua parti akan berceramah pada malamnya dan keesokannya ada tandatangan piagam.

“Jadi saya menyeru kepada orang ramai khususnya ahli kita ke PWTC pada 13 dan 14 September ini, untuk menyemarakkan dan mengikuti perkembangan terkini suasana HPU914,” tambahnya.

Terdahulu sebelum itu dalam ucapannya beliau menyifatkan kerajaan hari ini yang dibina atas asas penipuan dan fitnah mula tidak disukai rakyat.

“Berbanding kita yang mempunyai perjuangan yang jelas memartabatkan bangsa Melayu dan Islam serta negara kita. Asas dan objektif perjuangan kita jelas daripada mula ditubuhkan hingga ke hari ini masih jelas dan mempunyai objektif.

“Bukan macam parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan dengan pelbagai objektif perjuangan. Perjuangan kita jelas dan macam mana pun keadaan ianya  tetap tidak berubah. Keyakinan ahli kita makin kuat. Apa jadi pun asas itu masih ada dalam diri kita,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.