Tok Mat Ingatkan Ahli Perlunya Kesatuan Untuk UMNO Terus Bangkit


SEPANG, 30 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan ahli parti agar terus bersatu padu dan meninggalkan perkara serta faktor lain yang menyebabkan parti boleh berpecah-belah.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru agar ahli UMNO sama-sama mengimbau dan merenung serta belajar daripada kesilapan yang lalu supaya kebangkitan UMNO dapat diteruskan tanpa boleh digangu-gugat.

“Yang penting kita jangan berpecah-pecah. Inilah permintaan saya dan kita ambillah iktibar dengan belajar daripada kesilapan lalu untuk kita sama-sama renungkan apa sebab kita kalah selepas 61 diberikan mandat oleh rakyat.

“Banyaklah sebabnya bak kata pepatah orang tua… sakit berpunca, mati bersebab orang tua-tua kata. Bila kencing manis ada sebabnya… makan gula banyak dan sebagainya lagi. Jadi kita lihat ada benda-benda yang berlaku di dunia ada sebab dan puncanya. Jangan kita menuding jari kepada orang dan kita kalah… 14 kali berlawan sekali kalah janganlah terus moyok. Bangun segak berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Sepang di sini, hari ini.

Walaupun UMNO kalah sambung Mohamed, jangan sesekali menyebut parti tersebut sebagai pembangkang kerana ianya adalah sebuah perjuangan.

“Jangan sesekali sebut UMNO ini pembangkang. UMNO bukan pembangkang. Ini adalah perjuangan kita. Yang jadi pembangkang adalah saya di dalam DUN Negeri Sembilan.

“Parti UMNO ini parti perjuangan yang memperjuangkan maruah martabat orang Melayu… dari segi psikologinya kalau kita katakan pembangkang kita dah lemah…. Kita adalah sebuah perjuangan.

“Saya, tuan-tuan semua adalah menyambung perjuangan yang diasaskan oleh datuk nenek moyang kita dahulu. Sampai ke zaman kita kalah nak buat macam mana,” katanya.

Tambahnya lagi tidak ada benda yang boleh diselesaikan dan apa yang penting adalah mencari punca apa sebabnya berlaku sedemikian rupa.

“Jangan kita bertelingkah dan berselisih faham. Kita sama-sama raikan pandangan. Tidak ada benda yang boleh diselesaikan dan cari punca apa sebab. Kita berpecah-pecah maka punca utama untuk kita bangkit semula adalah bersatu padu. Bersatu kita supaya kita boleh berjalan seiring dan kembali semua kepada semangat penubuhan UMNO.

“Kalau ini dapat kita tanam dan pegang elok-elok tidak akan tersasar kita dan dah ada dalam perlembagaan kita . Asas utama Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu diwujudkan tidak lain dan tidak bukan memperjuangkan maruah martabat bangsa, agama, tanah air kita,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.