Kemajuan, Keharmonian Dibina Kerajaan BN 62 Tahun Di Ambang Kemusnahan – Zahid

KEPONG, 22 Jun – Rakyat Malaysia perlu membuka mata terhadap kemusnahan yang bakal berlaku sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus dibiarkan menerajui kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemajuan dan keharmonian yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 62 tahun, kini diambang yang cukup getir berikutan ketidakupayaan PH mentadbir negara.

“Anggaplah 9 Mei 2018 sebagai satu hikmah bagi menyedarkan kita mengenai kerakusan dan penipuan yang ditunjukkan oleh pihak yang selama ini cuma tamakkan kuasa.

“Mereka kini terbelit dengan masalah survival politik, dan terpaksa memesongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kerajaan silam,” katanya.

Jelasnya, banyak dasar PH tidak jelas dan sesetengahnya membebankan rakyat, antaranya perumahan di bandar, tol, AES dan PTPTN.

Di Kepong, misalnya, dasar mengenai peniaga kecil, tapak niaga dan gerai Ramadan benar-benar menyusahkan rakyat.

“Rancangan persempadanan semula kawasan pilihan raya lebih memihak kepada bukan Melayu, dipercayai tuntutan sebuah parti dalam PH yang sejak dari dahulu bersifat rasis,” katanya berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepong di sini, hari ini.

Dr Ahmad Zahid menambah, kontrak sosial, fungsi Majlis Raja-Raja dan status Bahasa Kebangsaan makin dipersoalkan manakala hak rakyat yang dikecapi sebelum ini diperlekehkan.

“Melayu makin hilang suara. Puncanya kita berpecah, terlalu banyak parti. Sebab itulah kerjasama UMNO dan PAS digarap dan akan diperkasakan.

“Gerakan penyatuan ummah sudah memberi hasil termasuk di beberapa PRK dan kini mulai digeruni oleh PH.

“Kerana itulah ada pihak yang mengata ia satu mengancam keselamatan negara. Sebenarnya, mereka gusar,” katanya.

Dr Ahmad Zahid menekankan, sebab itulah Melayu perlu bersatu padu agar perjuangan menuntut hak didengari oleh semua, dan agar semua rakyat Malaysia kembali terbela. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.