Dipilih Oleh Rakyat Bukan Tiket Bermaharajalela, Tegas Annuar


KUALA LUMPUR, 30 April – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengecam sesetengah pihak dari kalangan ahli politik yang berterusan mahu memusuhi institusi Diraja.

Bidasnya dalam catatan di Facebooknya, hanya kerana dipilih oleh rakyat itu bukan tiket seseorang pemimpin untuk bermaharajalela.

“Raja-raja tidak bertindak menyusahkan rakyat. Baginda tidak membuat dasar, tidak berparti dan berpuak-puak. Baginda tidak berkempen. Baginda tidak mengurus wang rakyat.

“Tapi kita orang politiklah yang lakukan segalanya. Salah tindakan kita terutamanya yang berkuasa, maka rakyat menanggung akibatnya.

“Kita yang bertanggungjawab mencukai rakyat, bukan Raja. Kita yang bertanggungjawab membuat segala lantikan. Kita orang politik yang buat segala kempen dan janji,” jelasnya lagi.

Justeru ujarnya, menjadi tanggungjawab bagi pemimpin agar jangan mengalih pandangan terutama atas ketamakan kuasa untuk membenci Raja.

“Kita dan saya sendiri telah lalui pengalaman yang banyak mengajar kita. Usah terperangkap dengan perebutan kuasa hingga kita mahu mengheret Raja-raja.

“Kita orang politik boleh menjadi rakus dengan kuasa dan bukannya Raja yang punya kuasa terhad sebagai Raja Berperlembagaan,” tegasnya lagi.

Begitulah juga katanya yang berkaitan dasar-dasar seperti menangani kos sara hidup rakyat dan harga barang, mendukung prinsip ‘Rule of Law’, mengurus ekonomi negara, hal yang berkaitan integriti serta sistem keadilan semuanya berada di tangan orang politik. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.