Kekalkan Kemenangan Tok Mat, Janganlah Perjudikan DUN Rantau Untuk Orang Luar


RANTAU, 3 April – Para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 April ini diminta untuk terus mengekalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat.

Usahawan belia di Rantau, Mohd Zahuri Ruhaiza berkata, janganlah perjudikan DUN Rantau kepada orang luar yang langsung tidak tahu tentang keadaan masyarakat setempat.

“Tok Mat dah banyak berbudi kepada kita semua, senang nak bercakap dengan semua orang tanpa protokol, tua muda semua ditegurnya di mana saja, seorang yang mudah didekati dan paling penting tahu semua tentang selok-belok Rantau,” katanya.

Beliau yang menjadi legasi menyambung perusahaan bapanya amat berbangga dengan kepimpinan Tok Mat lantaran sentiasa memberi ruang dan pelung kepada anak tempatan memajukan tempat sendiri.

“Beliau adalah pemimpin yang cukup terbuka dan mudah membantu, memberikan peluang kepada kami untuk maju berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang kami miliki, misalnya arwah ayah saya telah diminta oleh Tok Mat membuat ukiran di mimbar Masjid Angsamas,” katanya yang amat menghargai peluang tersebut kerana membuka
peluang lebih luas dalam perusahaan bapanya selepas itu.

Turut sekata dengan Mohd Zahuri ialah Norfazliza Mohd Salleh yang merupakan Pengerusi Kelab Beliawanis Aspirasi Listasi Jempol.

“Sebagai NGO yang bergerak dalam aktiviti kemasyarakatan, Tok Mat adalah orang yang dirujuk untuk menggerakkan persatuan dan amat mudah bagi kami berhubung dengan Tok Mat.

“Beliau seorang yang sangat merendah diri… nak jumpa pun bukan lihat kepada jawatan sedangkan ketika itu Tok Mat menteri besar, tapi sentiasa ada ruang untuk kami… dan setiap program yang melibatkan masyarakat juga tidak pernah ditolak,” katanya.

Mohd Zahuri dan Norfazliza berkata demikian dalam diskusi ‘Apo Nak Dikato’ yang merungkai isu ‘Suara Anak Nogori’ terhadap calon BN, Tok Mat dengan dihoskan oleh Wan Salwati Abdullah. Diskusi ini disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Tambah Norfazliza lagi, semasa kepimpinan Tok Mat, golongan belia bergerak dengan ‘laju’ malah wujud DUN Belia’ yang sangat mendapat sokongan dari Tok Mat.

“Golongan belia amat rapat dengan Tok Mat sebab kami sebagai pemangkin tapi sekarang program belia di tempat saya sendiri semakin kurang… mungkin masih tak pasti hala tuju atau kurang mendapat sokongan dari pihak atasan.”

Selaras dengan itu, beliau mengajak para pengundi PRK DUN Rantau untuk terus sepakat mengekalkan kemenangan Tok Mat dengan mengundi BN.

“Orang Rantau sendiri fikir-fikirkanlah, Tok Mat seorang yang dibanggakan… bertanding semula hanya kerana calon mereka yang lupa nak bawa pas… Tok Mat yang kena tapi kita ikut undang-undang… tak perlu buat kerja macam orang sana yang bergolek di jalan raya dan sebagainya.

“Kita ikut keputusan mahkamah… dan kali ini kita tolak orang luar yang tak tahu apa-apa tentang tempat kita,” katanya lagi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.