2018 FGV Rugi RM1 Bilion: PH… Tingkatkanlah Pasaran, Bukan Idea Tanam Buluh


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menteri yang bertanggungjawab agar membantu Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) dan FELDA dalam memulihkan dan meningkat penjualan hasil kelapa sawit mereka.

Dalam hantaran di Facebooknya, Najib juga menegur PH dan menteri kabinet yang berkaitan agar menjaga kepentingan peneroka dan bukan melemparkan idea yang tidak sepatutnya.

“Saya harap kerajaan PH dan Teresa Kok akan membantu FGV dan FELDA memulihkan dan meningkatkan penjualan mereka.

“Jagalah sikit FELDA dan peneroka. Jangan hanya tahu panggil mereka tanam buluh sahaja,” bidasnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata FGV tidak pernah rugi sejak disenaraikan pada tahun 2012.

“Walaupun harga sawit jatuh dan fenomena El-Nino melanda selepas disenaraikan, FGV tetap tak rugi. Pada tahun 2017, FGV mula pulih apabila keuntunggan hampir berganda kepada RM400 juta.

“Tetapi selepas kerajaan PH mengambil alih, FGV rugi RM1 bilion untuk tahun 2018 untuk kali pertama sejak disenaraikan 7 tahun dahulu.

“Tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah perolehan atau penjualan FGV telah jatuh RM3.5 bilion (21%) pada tahun 2018 berbanding tahun 2017,” ujarnya.

Tambah Najib lagi, kejatuhan tersebut adalah serius kerana FGV membeli buah tandan segar dan minyak sawit dari FELDA dan peneroka untuk dipasarkan kepada dunia.

“FGV untung atau rugi itu hal berlainan. Jika penjualan sawit FGV jatuh maka pembelian FGV dari FELDA dan peneroka turut jatuh. Akhirnya, peneroka-peneroka FELDA yang kini jauh ‘airmata’ pemimpin PH, akan merasa terkesan.

“Kejatuhan penjualan sebanyak 21% atau RM3.5 bilion penjualan bukan satu isu remeh dan merupakan antara faktor utama FGV rugi RM1 bilion untuk tahun 2018.

“Tidak pernah berlakunya penjualan FGV jatuh begitu banyak dalam mana-mana tahun sebelum ini. Penjualan jatuh RM3.5 bilion bersamaan dengan dana RM3.5 bilion telah lesap dari poket FELDA dan peneroka,” tegurnya lagi.

Najib juga mengulas mengenai sidang media Teresa Kok yang dilihatnya pada minggu lepas di mana beberapa syarikat China telah mengumumkan hasrat mereka untuk membeli 1.62 juta tan minyak sawit dari empat syarikat Malaysia.

“Dari 1.62 juta tan ini, hanya 100,000 tan ialah dari syarikat Sime Darby Plantation milik PNB (Permodalan Nasional Berhad) manakala 1.3 juta tan dari syarikat milik Wilmar yang berpangkalan di Singapura.

“Baki 220,000 tan itu ialah dari syarikat Teck Guan Group dan SOP Edible Oils,” katanya yang juga melampirkan pautan berita tersebut, www.theedgemarkets.com/article/malaysia-china-sign-us891-million-palm-oil-purchase-deals.

Tambah menyedihkan luah Najib, Felda dan FGV langsung tidak terlibat dalam pengumuman ini.

“Apakah nasib peneroka ini nanti?

“Anak anak mereka yang tinggal di bandar, tak mahukah perjuangkan nasib peneroka?,” soalnya juga. – MediaUMNO