Manndzri Gesa Penambahbaikan Program SARA Demi Rakyat, Imbas Zaman BN
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ahli Parlimen Tenggara, Mandzri Nasib mengimbas pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) suatu ketika dahulu dan membandingkannya dengan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Menurut beliau, BR1M yang diperkenalkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) melibatkan tiga kategori penerima iaitu isi rumah warga emas, isi rumah biasa serta individu bujang berusia 21 tahun ke atas, dengan bantuan disalurkan secara berperingkat mengikut fasa tertentu.
“Suatu ketika kita pernah ada sistem yang namanya BR1M iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia. Ia melibatkan tiga kategori iaitu isi rumah warga emas, isi rumah biasa dan juga individu bujang berusia 21 tahun yang diberi dalam tiga fasa. Dapat duit dalam akaun pada fasa-fasa tertentu maka berbelanjalah, tetapi itu suatu ketika di bawah pelaksanaan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Penyata Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian berhubung Mekanisme Penyertaan Rakan Niaga dan Agensi Pelaksana dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Dewan Rakyat, semalam.
Mandzri yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa terbabit menjelaskan Program SARA kini menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan jumlah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM15 bilion bagi tahun 2026, termasuk RM8 bilion khusus untuk Program SARA.
Katanya, jumlah penerima yang meningkat daripada sekitar 700,000 orang pada tahun 2024 kepada kira-kira 8.1 juta penerima bulanan pada tahun 2026 membuktikan komitmen besar kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kadar penggunaan Program SARA mencecah antara 96 hingga 98 peratus di kebanyakan negeri, sekali gus menunjukkan majoriti penerima memahami penggunaan bantuan melalui MyKad untuk membeli barangan keperluan asas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peluasan skala program perlu disertai dengan penambahbaikan dari segi tadbir urus dan sistem penyampaian bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Dalam ucapannya, Mandzri turut memberi perhatian kepada isu penyertaan koperasi dan peruncit kecil sebagai rakan niaga Program SARA yang masih rendah. Menurut beliau, kedai runcit kecil memainkan peranan penting dalam komuniti luar bandar dan pedalaman, justeru usaha lebih agresif perlu dilakukan untuk membawa mereka menyertai program tersebut.
Beliau juga menggesa supaya proses kelulusan permohonan rakan niaga dipercepatkan, tuntutan bayaran balik diselesaikan dalam tempoh lebih singkat serta bantuan pendigitalan diberikan kepada peniaga kecil bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada arus transformasi digital.
Mandzri berkata kejayaan Program SARA bukan sekadar diukur melalui jumlah peruntukan atau bilangan penerima, tetapi berdasarkan sejauh mana ia mampu membantu rakyat mendapatkan keperluan asas dan pada masa sama memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
Beliau berharap Program SARA akan terus diperkukuh sebagai instrumen perlindungan sosial yang lebih inklusif, cekap, telus dan mampan demi kesejahteraan rakyat. – UMNO Online
