Penduduk Teluk Intan Kongsi Pengalaman Manogaran Jadi Ahli Parlimen ‘Hilang Dari Radar’


TELUK INTAN, 24 Jan – Penduduk dan pengundi di Parlimen Teluk Intan mengingatkan masyarakat di Parlimen Cameron Highlands agar membuat pilihan yang tepat pada hari pembuangan undi Sabtu, 26 Januari ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen berkenaan dengan memilih calon yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat setempat.

Menurut mereka calon Pakatan Harapan (PH) M.Manogaran yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan selama sepenggal memberikan seribu satu ‘pengalaman manis’ yang cukup berharga dan akan dikenang sepanjang masa.

Berkongsi ‘pengalaman manis’ tersebut, Firadaus Azimi Mohamed yang menetap di Kampung Terengganu berkata, apabila menang Pilihan Raya Umum 2008 (PRU 12) bekas Ahli Parlimen Teluk Intan itu tidak melaksanakan tugasnya dengan baik.

“Permasalahan yang menimpa penduduk sungguh menyulitkan, lagi-lagi apabila tiada tempat hendak mengadu, tiada tempat penyelesaian masalah kepada penduduk setempat.

“Jika hendak berjumpa dengan beliau amatlah susah… calon Cameron Highlands ini bukannya tinggal di Teluk Intan tapi tinggal di Kuala Lumpur dan ini sungguh menyulitkan keadaan kami apabila memerlukan khidmatnya,” katanya kepada UMNO-Online.

Manakala Khairuddin Abd Latib dari Kampung Durian Sebatang pula menyifatkan Datuk Mah Siew Keong yang menang sebelum ini sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan lebih banyak membantu jika dibandingkan dengan rekod Manogaran yang turut menjadi ahli parlimen di kawasan terbabit pada PRU ke-12 lalu.

“Apabila menang pada PRU-12 kadang-kadang muncul namun pejabat khidmat masyarakat pun tidak dibuka selalu… kepada siapakah kami hendak mengadu apabila pejabat tidak dibuka. Ini cukup jauh berbeza dengan Datuk Mah… pembangunan dan kebajikan dijaga dan dilakukan oleh BN,” tambahnya.

Sementara itu, bagi Fatimah Samad yang merupakan penduduk di Jalan Mak Intan mengatakan, Manogaran seolah-olah ‘hilang daripada radar’ apabila tidak kelihatan di kampung berkenaan sebaliknya hanya tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.

Manogaran adalah bekas calon parti DAP yang tidak berjaya merampas kerusi itu dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Pada PRU14, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru.

Namun begitu, pada 4 Jun tahun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang C Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.