Ramli Mohd Nor: Lambang Pengiktirafan BN Kepada Kesetiaan Orang Asli – Najib


JELAI, 24 Jan – Walaupun diugut, dihina dan ditekan dengan pelbagai cara oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak percaya masyarakat Orang Asli tetap bersama Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya, Orang Asli mempunyai nilai diri dan maruah kerana calon BN, Ramli Mohd Nor, 61, perlu dinobatkan sebagai Orang Asli pertama berada di dalam Dewan Rakyat.

“Kita mahu Orang Asli jadi pemimpin buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia. Tuan-tuan ada tanggungjawab lebih daripada kepentingan masing-masing.

“Tanggungjawab ialah untuk menjaga maruah Orang Asli. Jangan orang lain pijak, injak-injak maruah Orang Asli, jangan mereka memperbodohkan Orang Asli. Orang Asli ada maruah, Orang Asli ada nilai diri.

“Dan di bawah BN kita tetap nak membela masa depan Orang Asli,” ujar Najib di dalam program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli Pos Betau, di sini, hari ini.

Menurut Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, keputusan BN untuk memilih Ramli Mohd Nor, anak tempatan dari suku Semai serta seorang bekas Penolong Penguasa Polis sebagai calon BN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah sebagai membalas jasa budi masyarakat Orang Asli atas kepercayaan mereka kepada BN selama ini.

“Mengapa kita pilih Orang Asli? Mengapa Yang Amat Berhormat Datuk Seri Wan Rosdy memilih Ramli Mohd Nor? Kerana dia Orang Asli.

“Kerana kita nak balas budi Orang Asli setia kepada Barisan Nasional selama ini, kita pilih calon BN anak Orang Asli Cameron Highlands jadi calon.

“Tentu sekali bila anak Orang Asli berucap nanti di dewan Parlimen, dia akan sampaikan cerita Orang Asli, dia tahu isi hati Orang Asli, dia tahu susah senang Orang Asli, penderitaan Orang Asli dia tahu,” jelasnya lagi.

Berbanding dengan calon PH, Manogaran yang pasti tidak tahu apa-apa masalah Orang Asli secara mendalam tambahan pula datang menemui masyarakat Orang Asli ketika musim pilihan raya sahaja.

Oleh kerana itulah gesa Najib, pengundi masyarakat Orang Asli tidak boleh melepaskan peluang pada 26 haribulan nanti untuk memilih Ramli Mohd Nor sebagai ahli Parlimen yang pertama di Malaysia dari kalangan Orang Asli.

Justeru itu, Najib percaya hasil gandingan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ramli Mohd Nor, kebajikan dan kepentingan rakyat di Cameron Highlands tetap dijaga dengan baik.

Dalam pada itu, Najib turut mengatakan PRK Cameron Highlands bukan hanya pilihan raya semata-mata tetapi ia sebagai satu mini referendum disebabkan tindakan kerajaan PH berterus-terusan menipu rakyat, tidak mahu menunaikan janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.