PRK Cameron Highlands: MCA Yakin Masyarakat Cina Kembali Menyokong BN

TANAH RATA, 23 Jan – Ketua Wanita MCA Malaysia, Datuk Heng Seai Kie melahirkan keyakinan yang tinggi bahawa pengundi Cina di Cameron Highlands akan kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau ini kerana, mereka berasa kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas sembilan bulan mentadbir negara ini.

“Kami MCA telah diamanahkan untuk memulihkan sokongan pengundi Cina di Cameron Highlands ini. Sehubungan itu, pucuk pimpinan MCA telah menggerakkan semua jentera untuk membantu bahagian MCA di sini bagi mencapai objektif tersebut.

“Kami diberi tanggungjawab untuk meyedarkan masyarakat Cina dan mengembalikan sokongan mereka kepada BN.

“Sepanjang berkempen ini juga saya nampak ada peningkatan dari segi sokongan sebab ramai yang kecewa dengan prestasi kerajaan sedia ada kerana terlalu banyak u–turn dan dari janji manifesto juga tidak ditunaikan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambahnya, masyarakat di sini juga sedar bahawa masalah utama mereka berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri maka tidak ada faedah sekiranya mereka memberi undi kepada PH.

“Kebetulan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy adalah ADUN di Parlimen ini maka ia memberi sedikit kelebihan kepada pengundi di sini,” terangnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.