Diugut, Ditekan… Yakin Masyarakat Orang Asli Tetap Pilih Bersama BN


JELAI, 23 Jan – Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) semakin terdesak menggunakan pelbagai helah bagi merampas kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN).

Pelbagai taktik kotor digunakan terutama untuk memenangi hati pengundi masyarakat Orang Asli yang mewakili lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Bermula dengan pemberian ‘duit minyak’ ketika hari penamaan yang dikatanya ‘sukarelawan’, mengugut akan menghentikan elaun kepada tok batin dan tiada pembangunan akan diadakan sekiranya mereka tidak mengundi PH.

Begitu juga jentera PH kelihatan amat terdesak hingga mengaburi mata rakyat dengan menutup logo agensi kerajaan di kenderaan hak milik kerajaan negeri menggunakan bendera Malaysia dan PH.

Walaupun jelas kelihatan diasak dengan pelbagai penjuru, kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di penempatan masyarakat pribumi itu tetap mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari mereka.

Ini kerana menurut Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang diberi tanggungjawab mengetuai kempen BN di Pos Lanai, masyarakat Orang Asli mempunyai satu keunikan iaitu akan sentiasa menghargai dan mengingati jasa pihak yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan mereka.

“Berkaitan dengan ugutan terhadap masyarakat Orang Asli terutama tok-tok batin saya percaya hubungan rapat antara kita terutamanya masyarakat Orang Asli dan Melayu dan dengan pimpinan, ugutan itu tidak akan mendatangkan kesan terhadap pilihan raya yang akan kita hadapi,” ujarnya.

Ahmad Tajuddin berkata demikian kepada UMNO-Online, ketika ditemui di majlis ramah mesra Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Pantos, yang turut dihadiri tok-tok batin dari penempatan Pos Lanai, semalam.

Disebabkan itulah Ahmad Tajuddin berkeyakinan tinggi bahawa masyarakat Orang Asli akan tetap memilih BN pada hari pengundian nanti.

“Setakat ini nampaknya kita mempunyai laluan mudah mungkin kerana hubungan rapat antara bekas wakil rakyat Jelai yang dahulu, Datuk Omar Othman yang telah menyediakan segala keperluan, hinggakan mesranya hubungan mereka, orang sini memanggilnya dengan nama Tok Batin Om,” katanya lagi.

Selain daripada itu tambahnya lagi, penerimaan masyarakat di Pos Lanai terhadap program-program yang disusun mendapat sambutan yang amat menggalakkan hingga menjangkau jangkaan.

“Biasanya kita anggarkan keperluan untuk mereka yang terlibat dalam dua ratus ke tiga ratus orang, tetapi yang datang hingga ke lapan ratus orang, satu kampung,” ujarnya lagi.

Mengenai gerak kerja di hari pengundian, beliau berkata segala persiapan telah diatur dengan baik.

“Oleh kerana penempatan kita ini hanya di sini, apa yang perlu di waktu pagi (hari pengundian) kita susun dan pastikan mereka keluar mengundi, macam kita buat perbarisan ke pusat mengundi.

“Ia tidak menjadi satu masalah yang besar yang melibatkan keperluan logistik daripada jauh dan semuanya telah kita atur keperluannya termasuk makan minum pagi untuk pengundi-pengundi kita,” jelasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.