Wajarkah Berdiam Diri Jika Kesucian Agama, Kepentingan Bangsa Mahu Diusik?


JELAI, 22 Jan – Wajarkah bagi sebuah parti yang dasarnya memperjuangkan Islam dan umatnya berdiam diri apabila kesucian agama serta kepentingan bangsanya disentuh, soal Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Apabila perkara sedemikian disentuh dan cuba diganggu-gugat oleh beberapa pihak maka tegasnya sudah pastilah UMNO dan Pas akan bersuara mempertahankan apa yang menjadi asas-asas perjuangan parti tersebut.

“Sebenarnya bukan soal sentimen, bukan soal rasis. Di mana-mana di dunia ini bila datang kepada sesuatu kaum yang ada itu, dia mesti kembali kepada asas yang ada dalam perjuangan.

“Jadi parti UMNO dan Pas walaupun dari segi dasar mungkin berbeza tetapi apabila datang isu yang berkait dengan agama dan bangsa ia sebenarnya perkara yang sama.

“Iaitu takkan apabila orang sentuh mengenai agama dan bangsa yang melibatkan Melayu dan Islam, Bumiputera, tiba-tiba kita kata tidak apa.. ‘no problem’.. biarlah.. takkan pemimpin yang ada dalam UMNO dan Pas akan kata tidak apa, biarlah sebab ini kerajaan itu memerintah,” ujarnya kepada UMNO-Online selepas membuat lawatan rumah ke rumah di Kampung Tanjung Gahai, semalam.

Ahli Parlimen Padang Terap itu memberi reaksi demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio agama Islam, Datuk Dr Mujahid Yusof bahawa Melayu akan mundur jika isu agama dan bangsa menjadi agenda perjuangan.

“Bila hendak mempertahankan itulah timbulnya perkara ini. ‘Statement’ yang dibuat oleh Mujahid itu satu ‘statement’ yang tak betul, dia mesti jelas juga kedudukan dia, dia di mana?

“Dia atas parti Amanah, dia di mana? Dia mesti ada ‘direction’ yang jelas, okay kalau kata dia liberal “saya ini Melayu liberal, siapa jadi pemerintah saya tak kisah, buat apa pun saya tak kisah, haa.. itu okay lah, kita terimalah Mujahid itu liberal,” katanya lagi.

Mahdzir turut tidak hairan melihat sikap Naib Presiden Parti Amanah Negara itu kerana umum tahu bahawa yang berkuasa di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini adalah parti Dap.

“Saya tak hairan kalau Mujahid sebagai salah seorang menteri sebab dia datang dari Parti Amanah dan semua orang tahu yang berkuasa ini adalah Dap dan parti Amanah bernaung di bawah Dap.

“Jadi Mujahid boleh buat kenyataan seolah-olah Melayu takkan maju selagi dilihat UMNO dan Pas memainkan sentimen berkaitan bangsa dan agama,” tegasnya.

Mahdzir juga menyarankan kepada Mujahid agar melihat kepada dasar yang jelas di dalam kerajaan dan partinya jika masih mempunyai semangat berjuang mahu melihat bangsanya maju. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.