Johan Beri Laluan, Tidak Calonkan Nama Untuk PRK DUN Semenyih

SHAH ALAM 22 Jan – Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz hari ini sedia memberi laluan kepada rakan-rakan dalam institusi kepimpinan UMNO untuk diletakkan dan dipilih sebagai calon yang akan mewakili parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

Beliau yang juga mantan ADUN Semenyih berkata, beberapa mesyuarat telah diadakan dan nama-nama yang disenaraikan itu merangkumi daripada Wanita, Pemudadan juga golongan profesional.

“Saya memberi laluan kepada muka baru kerana institusi parti ini ‘panglimanya’ bukannya seorang… ada timbalan, ada naib, ada sayap dan saya berikan laluan,” katanya pada sidang media bersama antara UMNO dan Pas Selangor.

Tambah Johan perbincangan dan mesyuarat telah diadakan sebelum ini dalam usaha memilih nama-nama untuk dinilai oleh pimpinan parti.

“Setelah dibincangkan ada enam nama yang akan kita angkat kepada pengerusi perhubungan dan akan dibawa kepada BN pusat untuk dinilai,” katanya.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

PRK ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan). – MediaUMNO