SPR Diharap Segera Buat Siasatan Dan Tindakan Terhadap Salahlaku Dalam PRK Cameron Highlands

TANAH RATA, 21 Jan – Menteri Besar Pahang,  Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan segera melakukan siasatan dalam segala aduan yang dibuat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini.

Jelas beliau, rakyat sedang menunggu apakah keputusan SPR terhadap beberapa isu yang telah dikemukakan kepada SPR untuk tindakan lanjut.

“Rakyat sekarang ini bijak, mereka akan terus menunggu apakah hasil kajian yang dibuat oleh SPR. Jadi, Saya berharap SPR akan melakukan kajian dengan cepat,” ujar beliau kepada media selepas program beramah mesra dengan penduduk di Kampung Desa Kayangan di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan beberapa salah laku yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) malah beberapa siri laporan polis termasuk laporan kepada SPR telah dilakukan namun masih tiada sebarang tindakan daripada pihak SPR.

Antara isu yang berlaku di PRK Cameron Highlands ini adalah isu bayaran duit petrol kepada Orang Asli selepas hari penamaan calon dan penggunaan kereta kerajaan dalam kempen pilihan raya ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.