PRK Cameron Highlands: Kerjasama BN/UMNO Pas Cukup Baik – Mahdzir

JELAI, 21 Jan – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN)/UMNO serta Pas di dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands berada di dalam tahap yang tinggi, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, kesepakatan dan permuafakatan di dalam blok pembangkang (peringkat Persekutuan) semakin terserlah apabila BN memutuskan akan meletakkan calonnya, Ramli Mohd Nor, bekas pegawai tinggi polis serta anak tempatan dari etnik Semai bagi menghadapi PRK tersebut.

Tambahan pula Pas bersetuju tidak meletakkan calonnya serta memberi komitmen membantu BN berkempen mempertahankan kerusi tersebut.

“Apabila UMNO/BN telah memilih untuk meletakkan Ramli Mohd Nor sebagai calon Barisan Nasional maka Pas telah beri satu kerjasama pada kali ini pada satu tahap yang tinggi dan seluruh barisan kepimpinan Pas ada di Cameron Highlands sama ada di Jelai atau Tanah Rata untuk membantu Barisan Nasional.

“Bantuan itu nampaknya bukan sahaja dalam bentuk ceramah tetapi kerjasama yang melibatkan pengundi-pengundi di kampung-kampung ataupun di daerah-daerah lokaliti, satu usaha yang cukup baik,” katanya kepada UMNO-Online.

Malam tadi, ceramah Pentas Perdana diadakan di Dataran Felda Sungai Koyan 1, di sini yang dihadiri oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala di Kampung Beletik, Lubuk Kulit, di sini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sepentas bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Tambahnya lagi, permuafakatan yang terjalin ini boleh diteruskan pada masa akan datang dan kerjasama yang lebih besar selain menghadapi pilihan raya kecil semata-mata.

“Kerjasama ini berjalan dengan baik kerana apabila UMNO dan Pas mempunyai isu yang sama, isu yang dikaitkan dengan bagaimana ada usaha untuk Islam, Melayu dan Bumiputera itu dipinggirkan banyak perkara melibatkan dasar dan pelaksanaan kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Dap,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.