Janji Manifesto Pun Tidak Tertunai, Ini Mahu Tabur Janji Baru Pula – Tuan Ibrahim

TANAH RATA, 21 Jan – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada janji daripada Pakatan Harapan (PH) yang boleh dipercayai kerana janji dalam manifesto pun sehingga kini tidak tertunai.

Oleh kerana itu jelas beliau, kepimpinan Pas telah mengarahkan semua jentera parti Pas untuk turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin nyatakan komitmen Pas dalam membantu calon BN di PRK ini. Kita telah mengarahkan seluruh jentera untuk turun bagi memenangkan calon BN.

“Kita juga harus berusaha agar PH tidak lagi dapat menambah wakil Dap dalam Parlimen. Kita harus menghalang jumlah mereka menjadi lebih besar,” ujar beliau dalam ucapan ketika menyertai kempen PRK Cameron Highlands bersama Menteri Besar Pahang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail di kampung Desa Kayangan di sini.

Tuan Ibrahim turut menyeru kepada seluruh ahli Pas untuk mengundi calon BN di PRK kali ini.

Untuk rekod, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerjasama UMNO dan Pas semakin baik terjalin malah ini merupakan PRK kelima, kedua-dua parti Islam terbesar ini saling bantu membantu antara satu sama lain. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.