Pas Seru Ahli Undi BN di PRK Cameron Highlands

JELAI, 21 Jan – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyeru kepada semua pengundi di Cameron Highlands termasuk penyokong Pas untuk memberi undi kepada calon Barisa Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) ini di sini.

Jelas beliau, ini kerana walaupun sudah hampir setahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan negara namun hala tuju parti itu masih samar dan apa yang lebih mendukacitakan adalah pentadbiran mereka jauh lebih teruk daripada BN.

“Sudah dekat setahun, kerajaan persekutuan tidak tahu mana hala. Di peringkat Kabinet, menteri yang dilantik pula pencapaiannya tidak menyenangkan rakyat. Sekarang ini penyokong mereka sendiri sudah mula merungut dan melahirkan rasa tidak puas hati.

“Saya sendiri boleh melihat di Parlimen kerajaan baru ini sangat rapuh,” ujar beliau ketika berucap di ceramah umum BN sempena PRK Cameron Highlands di sini, Ahad malam.

Justeru jelas beliau, semua pihak tidak perlu hairan melihat UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama demi masa depan Agama, Bangsa dan Negara.

“Memang sejak dulu UMNO dan Pas menghadapi pertempuran yang sangat sengit. Namun takdir Allah, telah berlaku sesuatu selepas PRU-14, bagaimana UMNO yang menjadi tonggak negara telah tewas. Jujur saya mengakui ia adalah perkara yang menyedihkan dan Pas turut merasa sedih namun ada hikmah… jangan kita berdukacita.

“Siapa sangka UMNO dan Pas mampu menjalinkan kerjasama. Pas yakin, UMNO ibarat kerajaan Rome yang tewas ketika menentang kerajaan Parsi. Kami yakin UMNO mampu bangkit sama seperti kerajaan Rome,” ujar beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.