Berjanji Tapi Ingkar, Itulah Pakatan Tiada Harapan…

JELAI, 21 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Mat membidas sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya mahu menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan tidak mahu mengeksploitasi harta kerajaan bagi tujuan politik.

Justeru katanya, rakyat sewajarnya tidak menaruh harapan kepada PH kerana tindakan-tindakan yang mereka lakukan tidak seperti yang dijanjikan.

“Mereka berjanji mahu menjadi kerajaan yang bersih, mereka berjanji tidak akan menggunakan harta kerajaan untuk tujuan politik, itu janji mereka, itu mereka kata…

“Apa yang saya nak cerita, Pakatan Harapan sebenarnya pakatan tiada harapan.. Semua janji mereka tidak tertunai, saya tak payah sebutlah satu-satu, tuan-tuan pun dah tahu,” ujarnya yang dipertanggungjawab sebagai pengerusi majlis di Pentas Perdana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di Dataran Felda Sungai Koyan 1, di sini, Ahad malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu memberi reaksi sedemikian ketika menceritakan bagaimana calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor dan jenteranya menjumpai sebuah kenderaan jabatan kerajaan yang penuh dengan peralatan dan bendera parti manakala logo agensi tersebut ditutupi dengan bendera Malaysia serta bendera PH bagi mengaburi pandangan umum.

Tambah menjengkelkan apabila seorang timbalan menteri kerajaan PH turut sama-sama di dalam gerombolan tersebut.

Pentas Perdana yang julung kali diadakan dalam skala yang besar di Sungai Koyan itu menampilkan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihadiri tidak kurang dari tiga ribu audien.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan barisan kepimpinan pusat bagi kedua-dua parti.

Melihat kepada permuafakatan antara kedua-dua parti tersebut hingga berjaya sepentas berceramah, Md Alwi menyeru kepada semua pendukung parti agar tidak lagi menoleh ke belakang dan seharusnya memikirkan masa hadapan demi kedaulatan agama Islam.

“Semua datang kerana rasa suka, gembira, syukur kerana detik yang ditunggu selama enam puluh tahun untuk melihat peristiwa kita menuju ke arah yang sama.

“Jangan fikir soal lalu, jangan ingat cerita lama, kita mesti menuju ke hadapan, ke hadapannya Allah berjanji bahawa sebelum kiamat.. Islam akan dinobatkan.

“Dunia ini akan kembali dikuasai oleh Islam dan biarlah kita menjadikan bumi Malaysia ini sebagai permulaan ke arah janji Allah itu,” tegasnya.

Md Alwi turut mengakhirinya ucapannya dengan serangkap pantun, ‘asam di darat garam di laut, bila masak rasanya sedap rasa, bila UMNO dan Pas bersatu dan bertaut, Islam gagah Melayu perkasa. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.