Pertaruhkan Masa Depan Peneroka Di Bawah PH, Terbelakah Mereka?

JELAI, 20 Jan – Kepentingan dan kebajikan peneroka Felda pasca 9 Mei 2018 kelihatan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan Pakatan Harapan (PH), apatah lagi mereka terpaksa menghadapi kesan kejatuhan teruk harga komoditi kelapa sawit dan getah serta himpitan kenaikan kos sara hidup.

Tambahan pula kekecewaan terhadap janji-janji yang dilemparkan PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu gagal ditunaikan.

Justeru menurut Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, senario tersebut jelas berbeza ketika era pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan juga Tun Abdullah Ahmad Badawi di mana pelbagai bantuan dan kebajikan warga peneroka diutamakan.

Tetapi sebaliknya berlaku kini apabila kembali ke era pemerintahan Tun Mahathir Mohamad sebagaimana keluhan beberapa orang peneroka yang beliau temui sepanjang lapan hari berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini.

“Kalau kita tengok sekarang peneroka Felda ramai yang beritahu kepada saya dulu nak banding zaman Mahathir (Tun Mahathir Mohamad) jadi perdana menteri 22 tahun, peneroka Felda tidak pernah dapat apa-apa insentif atau kelebihan pun.

“Tapi bila zaman Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) menjadi perdana menteri bermula zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) lagi peneroka Felda sedikit demi sedikit diberi pelbagai kemudahan dan keistimewaan tapi hari ini semua pun dah tiada kembali.

“Jadi, ianya memang sangat terkesan kepada warga Felda khususnya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu kepada UMNO-Online.

Terdapat tiga penempatan warga peneroka Felda di kawasan PRK Parlimen Cameron Highlands iaitu Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3.

Justeru pada PRK ini jelas Exco Kerajaan Negeri Pahang itu lagi, Barisan Nasional (BN) tidak menawarkankan janji-janji sebaliknya menampilkan bukti-bukti hasil kejayaan BN mengurus tadbir negeri.

“Kepada anak-anak yang mengundi, saya juga nak memberi pesanan kepada merekalah kita tak nak berjanji, Barisan Nasional di negeri Pahang ini kita tak pernah berjanji, sebelum ini pun kita tiada manifesto cuma lihatlah bukti.

“Banyak bukti yang kita dah buat, kita semua pun berjaya hari ini, bukanlah nak mengungkit tapi ini adalah hasil usaha dari pemimpin-pemimpin kita terdahulu dan kita jangan membuat kesilapan sekali lagi,” tambahnya.

Pada PRK Parlimen Cameron Highlands, BN menampilkan calonnya, Ramli Mohd Nor seorang bekas pegawai tinggi polis, anak tempatan dari suku Semai dengan motto ‘Tiada Janji, Tapi Lihat Bukti’.

Justeru pada pandangannya, PRK Parlimen Cameron Highlands mempunyai hikmah yang tersendiri.

“Saya rasa PRK P.078 Cameron Highlands mempunyai hikmah yang tersendiri. Kali ini kita memberi signal kepada kerajaan Pakatan Harapan yang ditunjangi oleh Dap bahawa kita rakyat Malaysia masih lagi memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menjuarai suara rakyat di Dewan Rakyat.

“Insya-Allah kerajaan negeri Pahang akan terus bersama-sama rakyat di negeri Pahang,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan mengenai PRK Parlimen Cameron Highlands, Shahaniza mengatakan penerimaan pengundi terhadap calon BN amat baik.

“Saya ditugaskan untuk menjaga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Sungai Koyan 2 dan 3, jadi kami pergi berjumpa buat ‘personal touch’, pergi rumah ke rumah penyokong Pas selain penyokong UMNO sendiri, saya melihat setakat ini sambutan yang diberikan sangat-sangat menggalakkan.

“Dalam program-program yang dianjurkan kita boleh lihat sendiri di PDM saya ini kalau program anjuran Barisan Nasional dengan program anjuran Pakatan Harapan. Program Pakatan Harapan tiada orang pun, sambutan tu tak ramai.

“Walau bagaimanapun kita tak nak rasa selesa. Jadi saya tetap pergi bersama jentera rumah ke rumah untuk bertemu sendiri merayu undi dan semua rumah yang saya pergi setakat ini berjanji, termasuk penyokong-penyokong Pas memberi jaminan kali ini mereka akan memberi sokongan calon kita, calon Barisan Nasional,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.