Ketua Hakim, Menteri Dan Peguam Negara Cemarkan Institusi Perundangan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Institusi Kehakiman dan sistem keadilan negara terutamanya institusi Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dilihat tercemar dan diragui kredibiliti serta kebebasannya, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, situasi ini berlaku apabila kehidupan sosial individu-individu penting dalam institusi ini dipersoalkan apabila bukti dilihat melalui video yang menjadi tular ketika ini.

“Sepatut dan sebaiknya individu penting seperti Menteri di JPM (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, TS Richard Malanjum (Ketua Hakim Negara), Tuan Tommy Thomas (Peguam Negara), termasuk peguam atau individu tertentu tidak boleh mendedahkan diri mereka disituasi yang boleh dipertikaikan.

“Mereka yang terlibat dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Negara sepatutnya tidak melibatkan diri dalam perkara seumpama ini.

“Apatah lagi ahli-ahli politik dan individu seperti Datuk Ambiga dan Siti Kasim dilihat terlibat sama dan tentunya ia amat memalukan yang akhirnya kredibiliti mereka diragui,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, semua ini akan menyebabkan rakyat serta masyarakat mempertikaikan etika, nilai, integriti mereka yang berada dalam institusi ini.

“Lebih membimbangkan mereka yang berkedudukan tinggi dalam institusi ini dibimbangi akan berpihak apabila sampai waktu tertentu nanti dan tidak mengamalkan dasar keadilan yang sebenarnya.

“Pada saya, sejak awal lagi Kerajaan PH gagal dalam usaha memelihara institusi kehakiman dan perundangan dalam negara ini.

“Janji dalam manifesto mereka hanya sekadar untuk menarik dan mendapat sokongan masyarakat dalam memenangi PRU14 yang lalu.”

Bidasnya, hakikatnya mereka gagal sama sekali dalam memelihara institusi ini agar terus diyakini.

“Lantaran itu, kita harap pihak berkenaan segera memperbetulkan keadaan ini agar institusi ini tidak terus tercemar. Jangan meletakkan institusi ini dalam keadaan diragui dan tidak diyakini ketelusan serta keadilannya. Ia mengundang suasana yang tidak baik kepada negara ini,” katanya lagi. – MediaUMNO