Tuduh BN Tak Buat Kerja, Walhal PH Batalkan Peruntukan

Jelai, 19 Jan – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Bahkan katanya, ia berpunca daripada tindakan kerajaan PH yang membatalkan peruntukan beberapa projek pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimen Cameron Highlands pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Dulu ada juga Datuk Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) bagi masjid (Sungai Koyan) RM5 juta kepada kita, bagi jalan ke Pos Sinderut RM35 juta, bagi jalan ke Pos Lenjang RM15 juta. Elok-elok nak buat kita (BN) kalah pula, PH hentikan pula (projek).

“Lepas itu bila dia masuk dia tak pernah pijak pun bumi Cameron Highlands ini, tanah Jelai ini, dia datang-datang dia tersangkut di Pos Lenjang… Dia kata kita tak buat kerja, tiada pembangunan di Jelai, Cameron Highlands… yang dia ‘stop’ peruntukan dia lupa,” bidasnya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Calon BN, Ramli Mohd Nor yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama peneroka Felda Sungai Koyan di Dewan Jubli Perak, di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Ariffin; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin serta bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad.

Justeru, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri Pahang menimbulkan persoalan adakah PH perlu disokong pada hari pengundian, 26 Januari nanti.

“Adakah kerajaan yang macam ini yang hendak kita bergantung? Adakah kerajaan yang jelas menipu kita seperti ini perlu kita undi?

“Adakah calon dia yang hendak kita pilih pada 26 haribulan ini?,” soalnya sambil hadirin sebulat suara menjawab tidak.

Wan Rosdy turut menyeru pengundi supaya menewaskan calon PH dari parti Dap, M.Manogaran buat kali ketiga apatah lagi calon BN lebih baik dan berkaliber serta anak tempatan dari etnik Semai.

Berhubung dengan tuduhan Lim Guan Eng yang mengatakan kewangan kerajaan negeri Pahang teruk, Wan Rosdy membidas dengan berkata:

“Lim Guan Eng kata kedudukan kewangan negeri Pahang teruk, dulu Tengku Zulpuri kata beri tiga bulan sahaja negeri Pahang di bawah pentadbiran menteri besar baharu akan bankrap tetapi jika Kerajaan Persekutuan boleh bayar bonus kepada kakitangan awam, kerajaan negeri juga mampu membuat sedemikian.

“Kerajaan Persekutuan pecat pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) seramai 44 orang, kerajaan negeri ambil mereka untuk bertugas di negeri Pahang,” tegasnya.

Begitu juga tambahnya, Bajet 2019 bagi kerajaan negeri Pahang mempunyai lebihan sebanyak RM28 juta. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.