Tembelang Dah Pecah, Lagak Hero MB Johor ‘Terjerat Leher’ Sendiri

JOHOR BAHRU, 19 Jan – Umum mengetahui, pertikaian dan perbincangan hangat pelbagai isu antara Malaysia-Singapura sering berlaku sejak sekian lama termasuk berkaitan air, tambak, proses menuntut jajahan dan banyak lagi, namun, baru-baru ini pertikaian ruang udara, disusuli pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura dan juga sempadan maritim/had pelabuhan kedua-dua negara menjadi perbualan hangat.

Dalam hal tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO Johor menempelak Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian yang akhirnya ‘pecah tembelang’ apabila tindakannya tidak mendapat kebenaran dari Kementerian Luar.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah meminta Osman sebagai pemimpin nombor satu dalam Johor untuk berkata benar, mengakui kesilapan dan memohonlah maaf kepada semua Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya kerana beliaulah punca hubungan dan rundingan Malaysia-Singapura menjadi keruh kembali.

“Rupa-rupanya hari ini, tembelang Osman Sapian pecah tertepek ke mukanya dengan kenyataan Kementerian Luar, yang membawa maksud rombongan beliau tidak pun mendapat kebenaran daripada pihak kementerian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, seperti biasa, Singapura dengan kenyataannya dan Malaysia dengan pendiriannya, sehingga membawa kepada pertemuan Menteri Luar kedua-dua negara, 8 Januari lalu yang akhirnya memutuskan bahawa Malaysia setuju menggantung Kawasan Larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang, manakala Singapura menggantung pelaksanaan ILS dalam tempoh sebulan, serta-merta.

Namun katanya, yang mendukacitakan adalah tindakan Osman, yang tanpa angin dan ribut, mahu melawat petugas Jabatan Laut Malaysia dalam perairan pertikaian antara kedua-dua negara, sehari selepas pertemuan Menteri Luar berlangsung.

“Pergerakan Pemuda UMNO Johor berpendapat, tindakan Osman Sapian itu adalah dilakukan pada waktu, tempat dan masa yang salah, yang tidak sepatutnya dilakukan ketika tempoh ‘bertenang’ sebulan yang diputuskan kedua-dua negara.

“Apa yang paling menggelikan hati, hari ini Kementerian Luar dalam satu kenyataan balas terhadap komen Osman Sapian memaklumkan tidak membenarkan lawatan dibuat rombongan Menteri Besar itu.

“Mengapa sebelum ini dalam sidang media lain pula nada Osman Sapian? Dengan lagaknya memberitahu media sudah menelefon Menteri Luar selama 40 minit, juga Timbalan Menteri Luar kononnya untuk mendapat ‘restu’ membuat lawatan itu.”

Tegas Mohd Hairi, soal kedaulatan dan hak ruang udara serta maritim Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Johor tegas dengan pendirian tetap mahu kerajaan mempertahankannya daripada jatuh ke tangan orang lain, ambillah iktibar Pulau Batu Putih.

“Pergerakan Pemuda UMNO Johor di sini ingin menegaskan, kenyataan ini tiada kena mengena tentang isu tidak menyokong negara sendiri atau sebagai Bangsa Johor tidak memberi sokongan pada pemimpin yang kononnya mahu melihat sempadan kedaulatan negara, tidak sama sekali.”

Namun, katanya, perlu diingat pertikaian ini membabitkan Government to Government (G2G) dan jalan penyelesaian paling ‘mujarab’ adalah dengan meja rundingan, duduk bersemuka dan adakan pertemuan bagi menyelesaikannya. – MediaUMNO