Majlis Sosial Melibatkan Ketua Hakim, Peguam Negara Dan Orang Politik Amat Memalukan

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Pemuda UMNO menyifatkan penularan video majlis tari menari yang turut melibatkan personaliti-personaliti seperti Menteri di JPM (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Ketua Hakim Negara TS Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan peguam-peguam politik yang dilihat pro Pakatan Harapan seperti Datuk Ambiga dan Siti Kasim adalah suatu yang amat memalukan institusi kehakiman dan perundangan negara.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sejak dulu institusi kehakimanan dan perundangan negara amat sensitif dengan apa jua bentuk pergaulan sosial terutamanya para Hakim yang mampu menggugat keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka.

Apatah lagi tegasnya jika melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang bersosial dengan ahli politik dan individu berprofil tinggi yang pastinya boleh mengundang kontroversi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sebarang keputusan yang bakal mereka ambil kelak.

“Ini juga terkait dengan mantra yang harus mendasari sistem kehakiman dan perundangan negara iaitu ’Keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dilaksanakan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru beliau menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO melahirkan rasa amat kecewa dengan penularan video majlis sosial tersebut yang hakikatnya telah mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara terutamanya institusi Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti dan nilai Integriti lantaran pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan (conflict of interest) yang mula dipersoalkan rakyat.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.