Kerajaan Negeri Pulau Pinang Digesa Selesai Segera Isu Salib

JELUTONG, 19 Jan – UMNO Jelutong menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang segera menyelesaikan isu berkaitan paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, di sini.

Jelas Naib ketuanya Mutalib Samsudin, kerajaan negeri seharusnya lebih sensitif berkaitan soal agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini apatah lagi kedudukan bangunan tersebut terletak diperkampungan Melayu.

“Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga telah menegur berkaitan isu ini. Ini bukan isu kecil yang boleh dipandang remeh kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain di kalangan masyarakat yang beragama Islam.

“Saya juga mendesak pemimpin PKR dan PPBM agar bersuara. Sebelum ini mereka katakan parti mereka memperjuangkan agama Islam malah boleh menggantikan UMNO untuk membela agama tapi sehingga kini tidak ada seorang pun pemimpin mereka yang bersuara.

“Adakah kerana politik, mereka sanggup melacurkan agama. Sekiranya mereka benar-benar memperjuangkan agama Islam maka selesaikan isu ini segera,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Mutalib turut membidas jawapan yang diberi oleh pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd kononnya gambar yang diviralkan itu diambil ketika bangunan masih belum siap sepenuhnya dan lambang tersebut sepatutnya menunjukkan abjad Cina (王) bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik).

“Jika benar alasan pemaju tersebut, mengapa di waktu siang pun ia jelas memperlihatkan lambang salib.

“Cukup-cukuplah mengganggu agama Islam,” bidas beliau.

Sebelum ini, heboh di media sosial mengenai kewujudan lambang salib di Jelutong, yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baharu di kawasan berkenaan.

Perkara itu menjadi perbincangan hangat netizen, malah ia turut digelar sebagai ‘lambang salib paling besar di dunia’. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.