“Janji Seratus Hari Pun Tak Tunai, Ini Janji Baru Pula Nak Buat”, Najib Selar PH

JELAI, 19 Jan – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tanpa segan-silu terus menjanjikan harapan palsu baharu kepada rakyat.

Najib turut mempertikaikan PH kerana janji-janji seratus hari yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu masih gagal ditunaikan.

“Dia (PH) kata kalau menang di Cameron Highlands, dia janji pembangunan akan bertambah… janji seratus hari pun tak tunai, ini janji baru pula nak buat.

“Tuan-tuan jangan kena tipu dua kali, sekali cukup… saya yakin kerajaan negeri Pahang boleh bantu tuan-tuan dan kita jadikan pilihan raya ini sebagai satu titik kebangkitan semula Barisan Nasional (BN),” ujarnya dalam satu majlis ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Pos Sinderut di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub.

Dalam ucapannya, Najib turut menempelak PH kononnya jika mereka menang rakyat akan senang tetapi hakikatnya setelah menjadi kerajaan, hari ini rata-rata rakyat mengeluh kesan kenaikan harga barang, harga minyak yang tidak turun ke RM1.50 seliter seperti yang dijanjikan, pemotongan bantuan sara hidup dahulunya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai lagi bantuan kebajikan dimansuhkan.

Jelasnya lagi, ini berbeza sewaktu beliau menjadi perdana menteri, kerajaan BN sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan terutama dalam konteks masyarakat pribumi.

“Saya memang meletakkan keutamaan yang tinggi pembangunan untuk masyarakat Orang Asli. Dalam kawasan Cameron Highlands sahaja sebagaimana Yang Amat Berhormat Menteri Besar katakan tadi, lebih daripada RM200 juta saya telah luluskan untuk pembangunan Orang Asli.

“Perkampungan Sungai Ruil itu RM44 juta, hari ini mereka ada rumah yang tinggi nilainya tak payah bayar, ‘free’ kerajaan (BN) bagi. Pos Sinderut ini juga dapat jalan dengan perbelanjaan sebanyak RM35 juta, dan ada tempat-tempat yang lain Pos Lenjang dan sebagainya.

“Yang lepas kita (BN) luluskan dia (PH) batalkan, lepas tu dia sambung balik kononnya dia punya jasa pula.. Ini lembu punya susu,” sindir Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Selain itu katanya, BN turut mempunyai pelbagai program untuk masyarakat Orang Asli seperti biasiswa untuk melanjutkan pelajaran, pembinaan sekolah-sekolah, rumah-rumah serta projek perkampungan Orang Asli secara berperingkat serta urusan pemilikan tanah.

Najib yang hadir ke Pos Sinderut atas permintaan masyarakat Orang Asli di situ seterusnya menggesa mereka memilih calon BN, Ramli Mohd Nor yang merupakan anak tempatan dari etnik Semai demi maruah masyarakat pribumi.

“Kali ini kita ada peluang sebab calon kita buat kali pertama dalam sejarah politik tanah air calon daripada Orang Asli sendiri, daripada orang Semai, seorang yang berkelulusan tinggi, segak orangnya dan bekas pegawai polis tinggi.

“Pilihan raya ini bukan soal individu yang bertanding, ini soal maruah Orang Asli, buat pertama kali Orang Asli ada calon, bermakna kalau dia menang maruah Orang Asli terbela,” tegasnya.

Ini kerana jelasnya, Ramli Mohd Nor yang akan berada di dalam Dewan Rakyat mampu memperjuangkan masyarakatnya sendiri dan permasalahan yang dihadapi berbeza dengan calon PH, M.Manogaran. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.