UMNO Selangor Akan Cadang Nama Calon, Pastikan BN Menang PRK Semenyih

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Jawatakuasa Pengurusan UMNO Selangor akanmencadangkan lima hingga enam nama calon bagi diputuskan oleh pengurusan UMNO Pusat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, UMNO Bahagian Hulu Langat juga diminta bersedia dengan jentera dan persiapan untuk menghadapi PRK kali ini.

“UMNO akan mengadakan mesyuarat perhubungan bagi membincangkan penglibatan semua bahagian di Selangor bagi membantu kemenangan calon BN di Semenyih,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri juga berterima kasih kepada Pas kerana memberi laluan dan akan membantu memberi kemenangan kepada BN untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

“Saya yakin kerjasama ini akan mengembalikan semula kerusi DUN Semenyih kepada UMNO,” katanya.

“Keputusan Pas memberi laluan jelas menunjukkan semangat kesetiakawanan serta keikhlasan Pas untuk bekerjasama bagi mempertahankan Islam serta mengangkat martabat bangsa yang kini dihimpit teruk oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih dengan hari penamaan calon adalah 16 Februari sementara hari mengundi awal adalah 26 Februari. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.