PH Sengaja Mahu Nafikan Usaha Kerajaan BN Pahang Bantu Rakyat

JELAI, 18 Jan – Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said menyangkal dakwaan Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang tidak mampu membantu rakyat disebabkan bebanan hutang yang tinggi kepada Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, hutang kerajaan negeri Pahang adalah untuk kesejahteraan serta kepentingan rakyat.

“Kita kena faham, tinggi hutang untuk apa? Tinggi hutang untuk kesejahteraan rakyat. RM2.2 bilion adalah untuk bekalan air bersih bagi masyarakat luar bandar dalam negeri Pahang. Kalau kita tengok masalah kenapa beban hutang air ini tinggi kerana kalau kita lihat, ukur paip-paip air di negeri Pahang ini panjangnya kalau kita sambung boleh sampai ke London.

“Dan hutang ini kerana antaranya membeli paip-paip, menggantikan paip dan kuasa untuk rakyat negeri Pahang membayar bil kalau kita nisbahkan, bandingkan panjang paip air dalam negeri dengan bilangan pengguna tidak begitu ramai tapi oleh kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang sebuah kerajaan yang prihatin walaupun dua kilometer, tiga kilometer nun jauh di hujung kampung ada sebuah dua rumah tapi kerajaan BN Pahang tetap menyalurkan bekalan air paip dengan membina ataupun menyambung paip-paip sehinggalah ke hujung kampuang,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tegas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau itu, inilah yang membezakan kerajaan PH yang hanya pandai berjanji tetapi gagal penuhi dengan kerajaan pimpinan BN yang sentiasa memikirkan kesejahteraan rakyatnya.

“Bezanya kerajaan BN dengan kerajaan PH kerana kita sentiasa utamakan kepentingan rakyat walaupun dia Melayu, Cina, India ataupun Orang Asli asalkan itu adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri Pahang mesti ambil perhatian dan tindakan bagi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berharap BN dan calonnya Ramli Mohd Nor akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Hasrat kerajaan negeri di bawah BN ini kita hendak mengekalkan kerusi Cameron Highlands dan apabila kekal, kita dapat memastikan di parlimen, di Dewan Rakyat kita mempunyai kekuatan menjadi pembangkang yang konstruktif, pembangkang yang boleh menegur apa sahaja dasar-dasar kerajaan PH,” tambahnya.

Ismail turut terharu dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh pimpinan Pas kawasan terutama di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Keledek yang amat komited bantu berkempen bagi memastikan kemenangan BN.

“Istimewanya (PDM Kampung Keledek) biasanya dua tiga kali pilihan raya umum dimenangi oleh kawan kita dari parti Pas, dan Alhamdulillah kita lihat kerjasama dengan Pas, muslimat Pas, dengan orang kampung pimpinan Pas di kampung ini cukup hebat.

“Saya sangat terharu kerana Pas menghulurkan tangan kita berjabat untuk memastikan calon kita menang di dalam pilihan raya kecil ini,” ujarnya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.