Orang Asli Teruja Jumpa Najib, Kg Sg Ruil Bukti BN Laksana Pembangunan

TANAH RATA, 18 Jan – Biarpun kedinginan awal pagi di Cameron Highlands mencengkam tulang, kelihatan beberapa penduduk gigih menyusun kerusi meja dan melakukan persiapan terakhir bagi menyambut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke kampung itu.

Seawal 7.30 pagi lagi, tinjauan Bernama mendapati hampir 90 peratus persiapan bagi program Santai Pagi bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Ruil telah siap.

Dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab membawa pembaharuan ke perkampungan itu, Najib yang tiba kira-kira 8.30 pagi disambut mesra dengan ada penduduk yang sempat bergambar dengan beliau, tidak kurang ada yang mengutarakan slogan #maluapabossku yang sinonim dengan beliau sekarang.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands iaitu Ramli Mohd Nor.

Dalam ucapan ringkasnya, Najib menekankan keprihatinan kerajaan BN terdahulu terhadap masyarakat Orang Asli secara amnya.

“Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil merupakan projek teristimewa bagi Orang Asli. Ia bukan sahaja menelan kos besar hampir RM44 juta, malah tanah dikurniakan secara percuma oleh kerajaan negeri.

“Lim Kit Siang cakap saya (BN) tak tolong Orang Asli, dia tidak pernah datang tengok sendiri. Inilah realiti, saya yang lancar projek ini dulu dan ini kali kedua saya datang sini.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak ada alasan untuk menuduh BN tidak prihatin terhadap kebajikan Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut berharap sokongan diberikan kepada calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands iaitu Ramli Mohd Nor.

“Ini pertama kali dalam sejarah Malaysia calon daripada Orang Asli dapat peluang untuk mewakili anda semua (penduduk). Beliau cukup berkebolehan, layak dan pesara polis yang sesuai untuk duduk di Dewan Rakyat. Siapa lagi yang boleh mewakili darah daging anda, takkan nak undi DAP?,” kata Najib yang meluangkan masa kira-kira 30 minit di perkampungan itu.

Projek Penempatan Semula Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya di tapak penempatan sedia ada yang dilanda tanah runtuh pada 7 Ogos 2011.

Kerja-kerja penempatan semula itu melibatkan rawatan cerun, pembinaan 152 buah rumah penduduk jenis semi-D, surau, dewan serba guna, tadika, rumah komuniti, tandas awam serta pembinaan premis perniagaan untuk memberi peluang kepada penduduk di sini menjalankan aktiviti ekonomi.

Projek penempatan semula itu juga mengambil kira konsep pembangunan lestari dan mesra alam memandangkan sekitar kawasan ini yang berbukit-bukau dan kerja-kerja pemotongan tanah diminimumkan bagi menjaga alam sekitar.

Sementara itu, seorang pesara polis Baahau a/l Bageran, 62, ketika ditemui menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN.

“BN dah pimpin sini lama, kalau kita tak undi rasa macam derhaka, tapi ada juga yang nampaknya tidak sokong BN namun ia adalah hak individu dan tidak boleh dipaksa,” katanya yang mengusahakan kebun getah secara kecil-kecilan di Simpang Pulai, Ipoh. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.