Sokong BN Untuk Beri Isyarat Kuat Kepada Kerajaan PH Agar Prihatin Nasib Rakyat – Dr Shamsul


JELAI, 17 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pilihan pengundi di Cameron Highlands kepada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor akan memberikan isyarat  yang cukup kuat dan jelas kepada kerajaan pusat agar segera memperbetulkan segala kepincangan termasuklah soal yang melibatkan isu-isu kepentingan rakyat.

Menurut beliau dengan kenaikan kos sara hidup seperti cadangan kenaikan tarif air serta pelbagai perkara lain menyebabkan rakyat bakal terus tertekan dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan adalah platform terbaik.

“Ini isyarat kepada kerajaan pusat  bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan terutama usaha mereka yang gagal dalam menyelesaikan isu rakyat seperti kos sara hidup dengan kenaikan tarif air dan sebagainya.

“Ini perkara-perkara yang meresahkan rakyat dan PRK ini kita berikan kemenangan kepada BN supaya kita berikan mesej kepada kerajaan pusat agar  perbetulkan kelemahan-kelemahan yang berlaku hari ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan kempen dan ziarah rumah ke rumah di Kg Beletik serta Kg Lubuk Kulit bersama jentera setempat.

Dalam perkembangan sama beliau terus menggesa agar pihak berkuasa dan mereka yang berkaitan supaya mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan politik wang sepertimana yang tular di media sosial baru-baru selain laporan oleh beberapa pihak berhubung perkara berkenaan.

“Saya nampak kerajaan hari ini masih terikut-ikut dengan budaya lama. Mereka masih ingat pembangkang.

“Dakwaan yang berlaku hari ini seperti politik wang dan politik ugutan sebagai contoh perlu diambil tindakan selanjutnya”, ujarnya.

Tegas beliau apabila sesuatu aduan dibuat maka segeralah lakukan siasatan dan jika siasatan tidak dibuat maka ianya menyebabkan rakyat akan melihat kredibiliti penguatkuasa itu yang tidak telus dan berpihak serta tidak menjaga keseluruhan.

“Sebab itulah kita minta supaya bagi membuktikan semua agensi ini berkecuali siasatlah aduan dan jika ia tidak berlaku,  buktikan tidak benar.

“Dan sebenarnya hari ini rakyat sudah cerdik dan mereka boleh melihat kerana dunia sudah berada di hujung jari dan saya fikir selagi soal ini tidak disiasat lanjut dan sebagainya rakyat akan terus pertikai,” katanya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.