Warga Felda Di Parlimen Cameron Highlands Dinasihat Jangan Terkena Lagi

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Presiden Alumni Majlis Belia Felda, Datuk Abdullah Abu Bakar menyeru kepada warga Felda dalam Parlimen Cameron Highlands supaya membuat keputusan yang terbaik dan tepat untuk melihat parti manakah yang boleh memajukan Felda.

Nasihatnya, jika boleh masyarakat Felda jangan lagi menerima kempen-kempen yang berbentuk janji kerana mereka pernah terkena dengan janji-janji manis yang sehingga sekarang masih tidak tertunai.

“Saya amat yakin dan percaya warga Felda terutama anak-anak yang berada di luar akan balik mengundi parti yang berjaya membantu mereka seperti apa yang ada pada hari ini.

“Saya tengok parti yang berjaya menempatkan mereka, menjayakan Felda, memajukan Felda sudah pasti akan menjadi pilihan mereka dan saya menyeru juga kepada masyarakat Felda supaya jangan termakan dengan isu-isu yang berkait dengan soal janji-janji untuk membantu masyarakat Felda,” jelasnya dalam Diskusi U3.0 bertajuk ‘Ke Mana Hala Felda?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online malam tadi.

Sekarang ini sedang berlangsung kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan Barisan Nasional (BN) membawa moto ‘Tiada Janji, Tapi Lihat Bukti’ mengetengahkan calonnya, seorang bekas pegawai tinggi polis, Ramli Mohd Nor, yang juga anak tempatan dari etnik Semai.

Selain pekan-pekan kecil di sekeliling pusat peranginan tanah tinggi tersebut, kawasan perkampungan tradisi dan kampung baru serta penempatan semula Orang Asli, terdapat juga rancangan Felda di dalam kawasan Parlimen tersebut iaitu di Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3.

Tegas Abdullah yang juga anak generasi kedua Felda Lembah Klau, Raub, Pahang itu, apa yang masyarakat Felda mahukan adalah dalam bentuk pelaksanaan sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang, bukannya sekadar pengumuman demi pengumuman tetapi tiada sebarang tindakan lanjutan.

“Saya juga menyeru kepada warga Felda di Gugusan Sungai Koyan dan saya sendiri pun akan pergi ke Sungai Koyan untuk menjelaskan bahawa apa yang kita hendak dan apa yang kita perlu.

“Parti-parti yang datang seharusnya menunaikan hasrat kita… saya amat yakin dan percaya warga Felda di Gugusan Sungai Koyan sudah pun ada keputusan mereka,” ujarnya berdasarkan pengalamannya yang telah bertemu para peneroka sepanjang tempoh berkempen yang bermula 12 Januari lalu.

Ini kerana menurutnya dari hasil tinjauan tersebut mendapati masyarakat Felda telah serik dengan tindakan parti politik yang hanya pandai berjanji tetapi tidak mahu menunaikannya serta cubaan memporak-perandakan keharmonian setempat.

“Sebab mereka sudah rasa, yang pertama bahawa ada parti politik yang berjanji tapi tak tunaikan janji, yang kedua ada orang yang datang cuba memporak-perandakan masyarakat Felda dan mereka tidak suka,” katanya.

Berhubung dengan tahap perpaduan dalam masyarakat Felda, berdasarkan pemerhatian dan pergaulannya ia masih lagi kekal di tahap lama, utuh dan padu tetapi mampu dirosakkan oleh anasir-anasir luar.

“Saya tengok perpaduan masyarakat Felda masih kekal di tahap lama, kita masyarakat Felda ini masih lagi mengamalkan sifat bergotong-royong, bekerjasama, hormat-menghormati di kalangan pegawai Felda dan sesama masyarakat kita.

“Hanya yang rosak di kalangan masyarakat Felda ini apabila orang luar datang, dia bercakap perkara yang belit-belit kemudian balik, tinggallah masyarakat Felda terkontang-kanting. Jadi perkara sebegitu yang merosakkan masyarakat Felda,” tegasnya.

Oleh kerana itulah Abdullah menyeru segelintir pihak yang datang ke masyarakat Felda jangan cuba merosakkan sistem perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan yang telah sedia wujud dalam Felda ini.

“Mohon kekalkan apa yang ada di dalam Felda ini yang sangat bagus dari segi perpaduannya, percampuran budayanya dan kesejahteraannya kerana sistem yang ada di dalam Felda ini sudah berjaya membentuk perpaduan yang kuat,” katanya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.