“Kami Nak Beritahu Datuk Najib, Kami Akan Undi Calon BN” – Pengundi Cameron Highlands


TANAH RATA, 17 Jan – Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak bukan lagi Perdana Menteri, namun masih ramai yang begitu teruja untuk bertemunya apabila mengetahui beliau akan turun berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Ternyata, ‘aura’ Najib masih terlalu kuat sehinggakan ramai yang menantikan kehadiran beliau di sini khususnya masyarakat Orang Asli.

Bagi Sariah Mat Isa, salah seorang masyarakat Orang Asli yang ditemui UMNO-Online, melahirkan rasa tidak sabar menanti kedatangan idolanya itu.

“Saya memang teringin nak berjumpa beliau. Saya berharap Datuk Seri Najib akan singgah ke Brinchang untuk bertemu kami. Kami nak beritahu Datuk Seri Najib, walaupun BN (Barisan Nasional) tewas pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), kami tetap sokong BN… kami tetap sokong Najib,” ujarnya.

Yati Shing pula, senada melahirkan rasa tidak sabar untuk bertemu dengan mantan Perdana Menteri itu.

“Saya nak beritahu Najib, kami akan sokong calon BN pada PRK ini,” katanya.

Mutalib Anak Lelaki Babusu turut menyatakan hasrat akan memastikan kemenangan calon BN di PRK kali ini.

Katanya, sejak dahulu lagi, BN telah banyak menabur jasa kepada masyarakat pribumi ini.

“Kali ini, ‘orang kami’ dipilih sebagai calon, sudah pasti kami akan mengundinya. Kami harap Ramli (Mohd Nor) mampu membawa suara Orang Asli ke tengah,” luahnya.

Hari ini Najib dijadualkan akan ke Cameron Highlands bagi membantu kempen BN di PRK ini dalam program bersama-sama masyarakat setempat di Kampung Raja, Pos Terisu dan juga di Tanah Rata.

Beliau akan ke beberapa kawasan termasuklah ke perkampungan Orang Asli, terutama penempatan semula kawasan pribumi tersebut bagi melihat sentuhan hasil pentadbirannya dahulu serta ke rancangan Felda yang amat dekat di hatinya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa juga ada menyatakan terdapat permintaan yang tinggi dari kalangan Orang Asli untuk menemui Perdana Menteri Keenam itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.