‘A Culture Of Dependency’… Kit Siang Patut Mohon Maaf Kepada Warga Felda


TANAH RATA, 17 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menempelak veteran Dap, Lim Kit Siang yang memuat naik status di twitter kononnya budaya kebergantungan ‘a culture of dependency’ telah membelengu masyarakat peneroka yang menjadikan kononnya mereka tidak dapat membangun.

Jelas beliau, Kit Siang seharusnya memohon maaf kerana kenyataan tersebut adalah satu penghinaan kepada warga warga Felda.

“Kenyataan ini boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada para peneroka. Kenyataan tersebut juga menggambarkan Kit Siang sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan tentang latar belakang dan susun galur perjalanan hidup peneroka.

“Dia seakan menggambarkan warga peneroka ini tidak pandai untuk berdikari dan hanya tahu bergantung kepada kerajaan. Ini menggambarkan Kit Siang mempunyai pandangan yang cukup dangkal dan menghina.

“Itu satu kesilapan yang sangat besar kerana kita harus tahu peneroka ini mempunyai sikap berjuang yang sangat tinggi, sebab itu dipanggil peneroka iaitu orang yang sanggup berpindah dari kampung dan meneroka hutan belantara. Mereka merupakan orang yang bekerja keras untuk mengubah kehidupan mereka malah merekalah yang membangunkan Felda dan Felcra,” ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Tambah Annuar, Kit Siang mungkin tersalah menerima maklumat hanya kerana peneroka memohon pelbagai bentuk bantuan kepada kerajaan.

“Ini juga jangan buat silap kerana mereka berhak menuntut untuk mendapatkan kemudahan, frasarana dan sebagainya kerana itu hak mereka.

“Kadangkala kita lihat ada ketidakadilan berlaku terhadap peneroka. Kalau dibuat jalan-jalan ladang, ia dimasukkan ke dalam akaun peneroka dan mereka membayar. Kena ingat, ladang-ladang yang mereka dapat itu bukan dapat secara percuma. Felda membuat pemotongan tertentu kepada peneroka.

“Jadi memang hak mereka untuk mohon sebarang bantuan. Kalau orang di luar berhak mendapat rumah PPRT, rumah kos murah maka saya fikir peneroka ini jauh lebih berhak lagi.

“Baru mutakhir ini Kit Siang bercakap soal Orang Asli, soal peneroka… selama ini dia tidak peduli tentang masyarakat luar bandar… Orang Asli… jadi bila dia datang berkempen kali ini dia cuma mahu meletakkan kesalahan kepada kerajaan terdahulu,” bidas Annuar lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.