Pemuda UMNO Tubuh Sekretariat Pantau Harga Barang Keperluan Rakyat


KUALA LUMPUR, 16 Jan – Pemuda UMNO hari ini menubuhkan sekteriat pemantauan harga barang-barang keperluan asas kerana rakyat semakin hari tertekan berikutan ia tidak dikawal oleh kerajaan baharu.

Jelasnya ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pihaknya akan mengerahkan kesemua ketua-ketua pemuda bahagian setiap negeri untuk melakukan pemantauan berkenaan bagi membantu kerajaan untuk memastikan harga barang tidak terus menekan rakyat.

“Tiada mekanisme yang berkesan, selama ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberikan janji bulan dan bintang bahawa harga barang akan turun, rakyat akan hidup lebih selesa, troli penuh dengan RM50,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Menara Dato’ Onn, di sini.

Jelasnya, sekretariat tersebut akan membuat pemantauan harga barang secara bulanan dan keputusannya akan diuar-uarkan kepada media dan media sosial.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands, beliau berkata Pemuda akan mempertingkatkan usaha dalam gerak kerja PRK ini.

“PH begitu ‘confident’ untuk menang tetapi mereka lupa banyak isu-isu, penipuan, fitnah dan janji-janji palsu yang didambakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu tidak dapat ditunaikan”.

“Pemuda akan memastikan kaum Cina dan India keluar mengundi pada 26 Januari dengan peratusan yang tinggi untuk kita menang selesa di Cameron Highlands,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh pengundi di Cameron Highlands untuk memberikan peluang kepada calon BN.

“Calon BN adalah seorang anak tempatan Orang Asli yang mudah didekati, berlatarbelakang yang hebat, bekas Pesuruhjaya Tinggi Polis, dan jika menang akan mengukir sejarah sebagai orang asli yang pertama membawa suara ke Dewan Rakyat.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.