Wanita Yakin BN Mampu Kekalkan Kerusi Parlimen Cameron Highlands 26 jan Ini


JELAI, 15 Jan – Wanita UMNO hari ini melontarkan keyakinan Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Ramli Mohd Nor mampu mengekalkan kemenangan yang dicapai parti terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dalam usaha membantu dan membela kepentingan penduduk setempat.

Untuk itu, Ketuanya yang juga Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Noraini Ahmad cukup bersemangat bersama jentera parti yang lain di pelbagai peringkat untuk terus melipatgandakan usaha kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Jan depan.

“Walaupun hari ini kita sebagai pembangkang tapi Wanita tetap bersemangat. Jentera kita di semua peringkat telah bergerak dan hari ini kempen dari rumah ke rumah dilaksanakan bersama jentera tempatan. Mereka ini lebih tahu suasana dan keadaan setempat.

“Malah menerusi kempen sebegini kita dapat menyelami dan dapat mendengar dengan jelas serta lebih dekat apa yang ingin disuarakan oleh penduduk setempat, dan kita lihat terdapat banyak rungutan yang dijanjikan oleh pihak kerajaan PH tidak ditunaikan. Ini peluang kita suarakan di akar umbi bagaimana janji-janji PH tidak ditunaikan.

“Umumnya inilah cara dan gerakan kita dalam membantu parti mengekalkan kemenangan yang dicapai sebelum ini, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama jentera tempatan lain bergerak menerusi ziarah dari rumah ke rumah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Koyan 1. Dalam kunjungan tersebut beliau sempat beramah mesra dengan penduduk tempatan yang tidak kekok bersembang dengan Ahli Parlimen Parit Sulong itu.

Noraini seterusnya menambah agihan gerak kerja dilaksanakan secara sistematik dan hari kempen yang memasuki hari keempat hari ini akan dilipatgandakan lagi khususnya menjelang saat-saat akhir hari pengundian nanti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.