Tiada Guna Tandatangan Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih Sekiranya Perbuatan Tidak Sekata – Calon BN

TANAH RATA, 15 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata, tiada gunanya menandatangani Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih Dan Adil sekiranya perbuatan tidak sekata dengan apa yang dimertai.

Jelas beliau, lebih baik dirinya tidak menandatangani ikrar yang disediakan oleh Bersih 2.0 kerana ikrar tersebut bukan jaminan diri seseorang itu telus.

“Kamu sign (tandatangan) tapi lihat apa yang berlaku. Lebih baik saya tidak tandatangan… tengok saja apa yang tersebar di media sosial.

“Saya tidak mahu tuduh dan mengata sesiapa tapi lihat dan nilailah sendiri,” ujar beliau kepada media selepas program beramah-mesra bersama penduduk Orang Asli di Kampung Terisu di sini.

Ketika ditanya mengapa tidak kelihatan poster beliau di kempen PRK ini jelas Ramli, itu semua tidak penting kerana apa yang lebih mustahak adalah apa yang akan beliau bawa dan perjuangkan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat nanti.

“Kami ini parti pembangkang.. tidak boleh guna sekolah.. dewan… duit pun tiada… kalau ada peruntukan adalah poster saya. Biarlah kita berkempen secara sederhana… yang penting apa yang saya akan lakukan kepada pengundi di sini dan bukannya poster saya,” tegas beliau. – MediaUMNO