Pihak Berkuasa Diminta Tidak ‘Double Standard’ Kuatkuasa Undang-undang Dan Peraturan Negara


KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pihak berkuasa iaitu Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengambil tindakan tegas dan tidak double standard dalam menguat kuasakan undang-undang atau peraturan dalam negara ini, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, perkara ini penting bagi memelihara kewibawaan institusi penguatkuasa yang semestinya sentiasa dilihat bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Dalam perkara ini, pihak berkenaan mestilah bersikap adil dan bertindak berlandaskan prinsip undang undang. Semua ini penting bagi memelihara dan memberikan keyakinan kepada rakyat dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerana itu katanya, pihak berwajib diharap segera mengambil tindakan ke atas laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung isu pemberian duit minyak, mengugut tok batin supaya mengundi PH dan mengeluarkan kenyataan berbaur rasis seperti yang diucapkan oleh calon PH di Cameron Highland dengan mengatakan kuih Orang Asli tidak dibeli oleh orang Melayu tular di media sosial ketika ini.

“Kita mahu semua rakyat di negara ini tanpa mengira apa latar belakangnya diberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam undang undang negara ini.

“Kita harap kerajaan pada hari ini tidak menutup mata dan telinga terhadap kes-kes berkenaan.

“Semestinya negara ini diurus berlandaskan Perlembagaan dan seperti kes yang membabitkan bekas MP Cameron, calon PH juga perlu disiasat oleh pihak berkuasa, jika tidak rakyat akan melihat bahawa sistem perundangan dan keadilan di dalam negara ini telah dicabuli,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO